SHAH ALAM, 12 OGOS: Kapasiti aliran Sungai Klang kini meningkat 22 peratus menerusi projek pelebaran dan pendalaman sungai yang sudah mencapai 68 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun depan.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata beberapa kawasan kritikal termasuk di Sri Muda telah dilebarkan, selain kerja penambahbaikan tebing dilaksanakan secara berperingkat.

"Kira-kira 1.2 juta meter padu bahan mendapan sudah dikeluarkan dari sungai menerusi kerja pengorekan setakat ini. Kapasiti aliran Sungai Klang telah meningkat 22 peratus, sebab itu risiko limpahan air dapat dikurangkan.
"Banjir masih berlaku tetapi bukan disebabkan limpahan Sungai Klang. Ia disebabkan sistem saliran dalaman atau drainage flood, bukannya river flood seperti yang berlaku pada 2021," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan semula bekas Tapak Pelupusan Telok Kapas di Bangunan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Syaiful berkata kerja penambahbaikan bagi jajaran Sungai Klang dari Shah Alam hingga Mid Valley akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan menerusi kontraktor yang dilantik.
Menurutnya, keseluruhan projek itu disasarkan meningkatkan kapasiti aliran Sungai Klang sehingga 40 peratus apabila siap kelak.
"Sasaran kita 40 peratus. Kita mahu sungai boleh menampung lebih banyak air. Itu tahap yang ideal tetapi dengan peningkatan 22 peratus sekarang pun, risiko banjir berjaya dikurangkan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syaiful Azmen berkata lebih 98,000 tan metrik sampah telah dikeluarkan dari Sungai Klang sejak 2017 menerusi operasi pembersihan yang dilaksanakan secara berterusan.

Menurutnya, jumlah kutipan sampah menunjukkan penurunan ketara daripada kira-kira 16,000 tan metrik pada tahun pertama kepada sekitar 5,000 hingga 6,000 tan metrik setahun ketika ini.
"Daripada tahun pertama sehingga sekarang, kadar penurunan keseluruhan kira-kira 63 peratus, manakala penurunan setiap tahun sekitar 15 hingga 20 peratus.
"Sasaran kita adalah untuk mengurangkan jumlah sampah kepada bawah 1,000 tan metrik setahun. Insya-Allah, dengan usaha dan kempen kesedaran yang kita lakukan, sasaran ini boleh dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata pengurangan jumlah sampah turut memberi kesan positif terhadap kualiti air Sungai Klang yang sebelum ini berada pada Kelas Lima.
"Apabila sampah berkurangan, impak paling ketara ialah peningkatan kualiti air. Dahulu ketika sampah banyak, kualiti air berada pada Kelas Lima.
"Sekarang, kualiti air berada sekitar Kelas Tiga dan Empat, bermakna tahapnya sederhana dan tidak terlalu tercemar," katanya.









