Sungai jadi aset ekonomi, tarikan pelancongan

10 Sep 2026, 3:00 AM
Sungai jadi aset ekonomi, tarikan pelancongan
Sungai jadi aset ekonomi, tarikan pelancongan

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sungai Klang berupaya meniru kejayaan Sungai Melaka sebagai daya tarikan dengan memiliki identiti tersendiri bagi menyepadukan pelancongan, pembangunan ekonomi dan pemuliharaan ekologi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Sungai Melaka yang dulunya dianggap “kawasan belakang bandar” boleh diubah kepada bahagian penting dalam pelancongan, rekreasi dan warisan negeri.

Namun, beliau mengingatkan Sungai Klang perlu ada keunikan tersendiri umpamanya merentasi metropolitan dan menghubungkan lokasi bersejarah, zon perindustrian, Pelabuhan Klang dan ekosistem bakau.

“Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE-SMG) merentasi koridor sepanjang kira-kira 56km dan merangkumi sekitar 27,900 hektar, bermula dari kawasan berhampiran Kuala Lumpur hingga ke muara Sungai Klang dan pulau-pulau di sekitar Pelabuhan Klang.

“Ini memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk membangunkan konsep lebih luas daripada sekadar persiaran sungai kerana ia boleh menjadi koridor ekonomi, ekologi dan rekreasi,” katanya kepada Media Selangor.

Temu bual bersama Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Dr Mohd Afzanizam di Pejabat Media Selangor Sdn Bhd, Shah Alam pada 30 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Afzanizam, langkah seterusnya memulakan potensi ekonomi sungai sambil memelihara nilai ekologi ekoran kualiti air bertambah baik daripada kelas lima ke kelas tiga manakala kerja mendalamkan sungai meningkatkan kapasitinya kira-kira 22 peratus.

Beliau mencadangkan pembangunan “Pass Sungai Klang” atau “Laluan Sungai Klang” yang menghubungkan lokasi tarikan seperti warisan diraja Klang, Pangkalan Batu, Mangrove Point dan Pelabuhan Klang.

“Dengan cara ini, kita membina satu pengalaman pelancongan dan bukannya beberapa projek yang terpisah,” katanya lagi.

Beliau juga menekankan kepentingan penjelmaan tempat (placemaking) lantaran orang ramai tidak berkunjung hanya kerana kewujudan sungai sebaliknya tarikan acara kesenian, pasar hujung minggu, festival dan makanan, warisan dan alam sekitar.

“Keterhubungan juga perlu diutamakan melalui laluan pejalan kaki dan basikal yang selamat, akses pengangkutan awam, jeti yang sesuai, pencahayaan, keselamatan dan kemudahan awam,” katanya.

Afzanizam mengulas perancangan negeri melalui ZPE-SMG, salah satu inisiatif utama dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2): Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama di Seluruh Daerah.

ZPE-SMG bertujuan merawat dan memperindah Sungai Klang sebagai pemangkin ekonomi, pembaharuan bandar dan pemulihan alam sekitar. Sesetengah pihak membandingkannya dengan Sungai Melaka.

Ekonomi sungai

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) pula berkata Sungai Klang tidak wajar dilihat sebagai sungai yang perlu dipulihkan dan dilindungi daripada pencemaran serta banjir.

Datuk Mohd Khalid Harun menegaskan ia sepatutnya dianggap sebagai aset strategik ekonomi, ekologi dan pelancongan bagi Selangor dengan mengambil iktibar daripada Sungai Melaka.

“Namun perlu menggabungkan persiaran sungai dan pengangkutan air dengan ekopelancongan, pemuliharaan bakau, gastronomi, warisan, rekreasi, pembangunan berasaskan sungai dan ekonomi hijau.

“Dalam kata lain, Sungai Klang tidak patut menjadi sekadar persiaran sungai, ia perlu menjadi sebuah ‘ekonomi sungai,” katanya.

Mohd Khalid menjelaskan projek bawah ZPE-SMG termasuk pembangunan semula Kampung Fajar dan Mangrove Point dijangka berupaya mengubah tanggapan orang awam terhadap Sungai Klang.

Katanya, Kampung Fajar menjadi contoh pembangunan semula masyarakat manakala Mangrove Point sebagai pembangunan semula ekologi yang mencipta peluang untuk ekopelancongan, rekreasi dan perniagaan tempatan.

“Transformasi yang lebih luas (bagi Sungai Klang) mampu menjana aktiviti ekonomi merentasi sektor pelancongan, hospitaliti, hartanah, rekreasi, ekonomi hijau dan perniagaan tempatan,” katanya.

Khalid turut mencadangkan penubuhan “Koridor Ekonomi dan Pelancongan Sungai Klang 2030” bagi menyepadukan semua projek sedia ada dan projek masa hadapan di sepanjang sungai berkenaan.

Beliau menambah pembangunan mesti kekal bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan menegaskan pembangunan perlu mencipta nilai untuk sungai, bukannya sekadar mengeksploitasi nilainya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.