Cederakan guru guna kapak, pelajar ditahan di wad psikiatri

21 Okt 2026, 10:12 AM
Cederakan guru guna kapak, pelajar ditahan di wad psikiatri

SHAH ALAM, 21 OKT: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa membawa mercun dan kapak ke sebuah sekolah swasta, di Kuching, Sarawak, sebelum mencederakan seorang guru wanita.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata berdasarkan maklumat awal, pelajar itu membawa mercun sebelum dipercayai mencederakan guru terbabit dengan menggunakan kapak, lapor Berita Harian.

“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu yang dilaporkan berlaku pada jam 8.03 pagi.

"Mangsa dilaporkan mengalami luka pada tangan dalam kejadian itu," katanya.

Saifullizan berkata pelajar terbabit sudah ditahan dan kini ditahan di wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.

"Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mendapatkan bukti berkaitan," katanya.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan berhubung kejadian itu.

Katanya, ia bagi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak yang terbabit.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.