TMS 2025 lepasi sasaran 8.42 juta pelancong, tahun ini sasar sembilan juta pengunjung

10 Feb 2026, 2:32 AM
TMS 2025 lepasi sasaran 8.42 juta pelancong, tahun ini sasar sembilan juta pengunjung
TMS 2025 lepasi sasaran 8.42 juta pelancong, tahun ini sasar sembilan juta pengunjung

KLANG, 10 FEB: Program Tahun Melawat Selangor 2025 mencatat pencapaian memberangsangkan apabila berjaya menarik 8.42 juta pelancong tahun lalu, melepasi sasaran awal seramai lapan juta pengunjung.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kampung Baharu Selangor, Dato’ Ng Suee Lim berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum itu tahun ini dengan sasaran baharu untuk menarik sembilan juta pelancong, sekali gus mencipta rekod baharu.

Menurutnya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Selangor akan terus mempergiat aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan bagi memastikan kesinambungan perancangan pelancongan negeri.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim ketika sidang media pengumuman senarai baharu Penyelarasan Kampung Baru dan Ketua Kampung Baru Cina Negeri Selangor di pejabatnya di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 6 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau menjelaskan, pengiraan jumlah pelancong hanya melibatkan pengunjung yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam di Selangor, dan tidak termasuk pelancong sehari atau mereka yang hanya singgah sementara, bagi memastikan data mencerminkan impak sebenar kepada ekonomi pelancongan.

Suee Lim berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Media Tahun Baharu Cina 2025, semalam.

Beliau memaklumkan, program Tahun Melawat Selangor akan diteruskan hingga tahun depan selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. Tema Tahun Melawat Selangor 2025 ialah “Surprising Selangor”, manakala tema baharu dicadangkan bagi tahun ini ialah “Selangor Kan Ada”.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyasarkan lapan juta pelancong dan hasil pelancongan sebanyak RM11.7 bilion sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Pelancong dibawa bersiar-siar di sekitar Parit 4 Tambahan Sungai Besar, Selangor pada 4 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Dalam perkembangan berkaitan, Suee Lim berkata Selangor akan mengambil pendekatan lebih agresif dalam pembangunan pelancongan, selain memaklumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dijangka membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, Selangor merekodkan jumlah hasil RM30 bilion pada 2025, tertinggi dalam sejarah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pemacu ekonomi negara serta contoh masyarakat yang harmoni, progresif dan inklusif.

Fi Kelestarian Penginapan bermula 2026

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor akan melaksanakan Fi Kelestarian Penginapan bermula 1 Januari 2026 kepada pelancong yang menginap di hotel dan penginapan di negeri ini.

Bagaimanapun, bagi tiga bulan pertama, pelaksanaan akan menumpukan kepada pendekatan penerangan dan pendidikan tanpa tindakan penguatkuasaan.

Suee Lim berkata, tempoh itu bertujuan memberi ruang kepada pengusaha dan pelancong memahami proses pendaftaran serta kutipan fi berkenaan, selain menghargai kerjasama pengusaha.

Antara pelancong yang mengunjungi Sky Mirror pada Famtrip sempena tahun melawat Selangor 2025 di Sekinchan pada 14 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau menegaskan kejayaan pelancongan Selangor memerlukan kerjasama semua pihak termasuk dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, pembangunan infrastruktur, pakej pelancongan dan promosi, bagi menjadikan Selangor destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia.

Kadar Fi Kelestarian Penginapan ditetapkan mengikut kategori penginapan iaitu RM7 semalam bagi hotel lima bintang, RM5 bagi hotel tiga bintang dan ke bawah, RM3 bagi hotel tanpa penarafan, serta RM2 semalam bagi inap desa dan Airbnb.