KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) perlu melangkaui peranannya sebagai pintu masuk ke ASEAN dengan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan dan golongan muda untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran serantau.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bertitah kejayaan SIBS bukan sahaja bergantung pada keupayaannya menarik perdagangan dan pelaburan, malah turut membuka akses kepada pasaran, teknologi dan peluang perniagaan di Asia Tenggara, khususnya kepada usahawan dan golongan muda.
“Persoalan di hadapan kita bukan lagi sekadar sama ada kita mampu membina pintu masuk ke ASEAN, tetapi untuk siapa pintu itu diwujudkan.
“Jawapannya jelas. Ia mesti untuk generasi yang bakal mewarisi segala yang sedang kita usahakan,” titah baginda pada Majlis Perasmian SIBS 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Tengku Amir Shah bertitah, ramai usahawan mempunyai bakat dan kemampuan untuk berjaya, namun masih berdepan kekangan dari segi jaringan perniagaan, akses pasaran serta keyakinan untuk berkembang.
“Bakat wujud di setiap bandar di seluruh ASEAN ini. Apa yang sering tiada ialah jaringan yang tepat, akses kepada pasaran atau sekadar keyakinan untuk mengambil langkah pertama,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda mahu lebih ramai usahawan Selangor mendapat peluang memperluas jaringan perniagaan dan menembusi pasaran ASEAN.
Baginda turut menekankan kepentingan sokongan kepada peniaga kecil dan pengasas syarikat teknologi supaya kedua-dua golongan dapat berkembang seiring.
“Rantau ini tidak akan maju dengan memilih antara kedua-duanya. Sebaliknya, ia akan maju apabila kita memastikan tiada satu pun yang ketinggalan,” titah baginda.

Tengku Amir Shah turut menekankan kepentingan kerjasama ASEAN serta pendidikan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing golongan belia.
Memasuki edisi ke-10, SIBS 2026 memberi tumpuan kepada inovasi, daya tahan dan kemampanan.
Sidang kemuncak selama empat hari bermula 14 hingga 17 Oktober itu menghimpunkan pemain industri, pelabur dan usahawan dari dalam serta luar negara.








