Raja Muda Selangor sempurnakan penutupan SUKMA 2026 malam ini

24 Ogos 2026, 4:00 AM
Raja Muda Selangor sempurnakan penutupan SUKMA 2026 malam ini

SHAH ALAM, 24 OGOS: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual menyempurnakan Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Aneka Walk, Shah Alam, malam ini.

Baginda dijangka berangkat tiba pada jam 8.45 malam sebelum menyertai perarakan VVIP ke pentas utama bagi memulakan acara rasmi penutupan temasya.

Turut dijadual hadir Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Majlis akan diserikan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor dan Negaraku, persembahan kebudayaan, lagu rasmi SUKMA Selangor 2026 ‘Rentak Kita, Aksi Kita’ serta perbarisan lintas hormat 15 kontinjen.

Kemuncak acara pada jam 10.15 malam menyaksikan Raja Muda Selangor menyampaikan Anugerah Atlet Wanita Terbaik, Atlet Lelaki Terbaik dan Juara Keseluruhan SUKMA ke-22.

Baginda seterusnya dijadual melafazkan perasmian penutupan pada jam 10.25 malam, sekali gus menandakan berakhirnya temasya SUKMA Selangor 2026.

Menjelang penutupan temasya, Selangor kekal mengungguli carta pingat setakat 11.25 pagi ini dengan 97 emas, 72 perak dan 69 gangsa, menjadikan keseluruhan 238 pingat.

Selepas Selangor, baton penganjuran SUKMA akan beralih kepada Kelantan yang dipilih sebagai tuan rumah SUKMA XXIII pada 2028.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.