SHAH ALAM, 22 OKT: Keupayaan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, akan ditambah baik susulan maklum balas pengguna yang tidak berpuas hati dengan prestasinya sebagai alternatif kepada Waze.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata fungsi aplikasi itu perlu diperkukuh dengan usaha sedang dilaksanakan untuk memperluas perkhidmatannya melangkaui pemantauan lebuh raya bagi menyediakan maklumat trafik yang lebih menyeluruh, lapor Berita Harian.
"Fungsi aplikasi itu sedang diperluas, merangkumi maklumat aliran trafik di jalan raya yang menghala ke lebuh raya untuk memudahkan pengguna.
"Saya juga bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan, iaitu ramai yang menyatakan perkhidmatan ini perlu diperkukuh lagi. Itulah perkara yang dalam perhatian kita," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai tahap kesediaan TuJu sebagai alternatif kepada Waze, susulan maklum balas pengguna yang mendapati aplikasi itu masih mempunyai kelemahan dan memerlukan penambahbaikan.
Young Syefura berkata, beliau sendiri memuat turun aplikasi berkenaan namun mendapati prestasinya tidak memuaskan, manakala orang ramai turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelbagai kekurangan yang ada.
Mengulas keputusan mengehadkan penggunaan Waze bagi urusan rasmi kerajaan, Gobind berkata terma penggunaan aplikasi itu menetapkan bahawa perkara berkaitan dengannya tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang Israel.
Katanya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana rakyat Malaysia mungkin berdepan kesukaran mendapatkan pembelaan melalui sistem perundangan negara berkenaan sekiranya timbul sebarang masalah.
"Berdasarkan maklumat saya terima, pergerakan pengguna masih boleh ditentukan melalui aplikasi Waze walaupun mereka tidak menggunakannya secara aktif.
"Apabila menggunakan aplikasi berkenaan, pengguna bersetuju dengan terma dan syarat tertentu. Jika diteliti dokumen perjanjian itu, jelas bahawa perkara berkenaan tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang Israel.
"Ini menimbulkan masalah kepada kita kerana sekiranya berlaku sesuatu isu, rakyat Malaysia tidak semestinya mendapat pembelaan melalui sistem perundangan negara itu. Atas sebab inilah, larangan terhadap penggunaan aplikasi berkenaan bagi urusan yang ditetapkan diperkenalkan," katanya.






