SPRM fokus ketirisan subsidi diesel, ekosistem nelayan di Kelantan

27 Sep 2026, 12:03 PM
SPRM fokus ketirisan subsidi diesel, ekosistem nelayan di Kelantan

SHAH ALAM, 27 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tumpuan kepada penyelewengan subsidi diesel dan ketirisan dalam ekosistem nelayan di Kelantan bagi menutup ruang kebocoran hak rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata kedudukan negeri itu yang mempunyai kawasan sempadan dan pesisir pantai menjadikan risiko penyelewengan subsidi komoditi, khususnya diesel, perlu ditangani secara serius, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata penguatkuasaan turut perlu diperkasa terhadap penerokaan tanah, pembalakan dan perlombongan haram yang menjejaskan khazanah alam.

“Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di peringkat daerah dan agensi negeri juga perlu dipantau ketat bagi menutup ruang salah guna kuasa, termasuk penyelewengan lesen perniagaan kepada warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke SPRM Kelantan di Kompleks SPRM Kelantan, di sini, hari ini.

Abd Halim berkata antara fokus lain ialah penguatkuasaan kelestarian alam sekitar, tatakelola pentadbiran tempatan dan pencegahan rasuah.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan perlu disokong risikan yang tajam, analitikal dan berorientasikan hasil.

Katanya, keberkesanan tindakan tidak hanya bergantung kepada operasi besar, sebaliknya keupayaan mengenal pasti kegiatan serta rantaian sindiket turut menjadi asas penting dalam membanteras jenayah kolar putih.

“SPRM tidak berkompromi dengan mana-mana rantaian sindiket yang mengaut keuntungan haram daripada hak rakyat,” katanya.

Dalam aspek pencegahan, beliau mahu Cawangan Pendidikan Masyarakat memperbanyak dialog dan forum bersama masyarakat serta memperkukuh pendekatan kreatif untuk mendekati golongan muda.

Abd Halim turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff yang akan bersara pada Isnin.

Lawatan itu turut melibatkan tinjauan ke beberapa fasiliti SPRM Kelantan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.