SHAH ALAM, 23 SEPT: Polis sedang mengesan pemilik serta kru sebuah bot nelayan bagi membantu siasatan dakwaan satu mayat tidak dibawa naik ketika empat pemancing diselamatkan dalam tragedi bot karam di perairan Kuala Selangor, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata keterangan daripada pihak berkenaan penting bagi melengkapkan siasatan, termasuk menjelaskan dakwaan yang dibangkitkan keluarga mangsa, lapor Harian Metro.
“Kita sedang berusaha melengkapkan siasatan termasuk mengesan nelayan dan pemilik bot yang digunakan semasa operasi menyelamat seperti yang didakwa bagi merungkai kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman video tular yang memaparkan empat pemancing diselamatkan sebuah bot nelayan, namun terdapat dakwaan satu mayat berhampiran mereka tidak dinaikkan.
Shazeli berkata siasatan awal tidak menolak kemungkinan mayat berkenaan membabitkan individu lain dan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pemancing terbabit.
“Berdasarkan percakapan dan keterangan saksi, kita yakin kejadian itu mungkin membabitkan individu berlainan kerana proses pengecaman gagal dilakukan ketika itu susulan keadaan mayat,” katanya.
Menurutnya, polis sudah merakam keterangan mangsa yang terselamat, manakala saksi lain akan dipanggil sebaik keadaan kesihatan mereka mengizinkan.
Dalam kejadian pada 13 September, empat pemancing terselamat selepas terumbang-ambing di laut lebih 36 jam susulan bot dinaiki mereka karam.
Mereka ialah Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal, Muhd Hamiszar dan Zulfikalnain yang dilaporkan berpaut pada botol air mineral untuk terus bertahan.
Insiden itu meragut nyawa Mohd Shahril dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, manakala Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49, masih dilaporkan hilang.







