SHAH ALAM, 20 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak peket satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah premis di Pelabuhan Klang, hari ini.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata sebanyak 15,900 kilogram minyak masak dianggar bernilai RM133,950 disita menerusi Ops Tiris 4.0 itu yang turut disertai Pasukan Polis Marin.
“Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang merupakan pekerja di premis itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Modus operandi aktiviti berkenaan disyaki melibatkan minyak masak peket yang dibawa ke premis terbabit untuk dicampurkan dengan minyak masak terpakai di dalam tangki simpanan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata campuran itu dipercayai disimpan untuk dijual semula kepada syarikat pemprosesan minyak masak terpakai atau dipasarkan melalui pasaran gelap bagi mengaut keuntungan berganda.
Muhamad Hanif berkata kegiatan itu turut dipercayai melibatkan pembekalan daripada pihak yang disyaki pemegang lesen barang kawalan berjadual (CSA) yang sah.
Beliau berkata hasil serbuan turut menemukan lambakan kotak mengandungi minyak masak jenis peket dan peket plastik yang telah dipotong.
“Beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini termasuk sebuah lori telah disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.







