SHAH ALAM, 23 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menghantar sampel RON95 ke Jabatan Kimia Malaysia bagi menyiasat dakwaan bahan api itu tercemar air yang dikaitkan dengan masalah enjin kenderaan.
Agensi itu memaklumkan pemeriksaan dan siasatan mengejut dijalankan di beberapa stesen minyak sekitar Puchong pada 22 Oktober, susulan aduan tular pengguna di media sosial.
Menurut KPDN Selangor, sampel petrol daripada pam yang berkaitan diambil dan disita mengikut tatacara ditetapkan sebelum dihantar untuk analisis makmal.
“Analisis makmal akan dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur pencemaran, termasuk kehadiran air dalam bahan api berkenaan,” menurut kenyataan di Facebook.
Tegasnya, siasatan menyeluruh akan dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat perlanggaran undang-undang.
“KPDN Selangor memandang serius setiap aduan pengguna dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar isu berkenaan,” menurut kenyataan sama.
Sehubungan itu, pengguna yang mengalami masalah selepas mengisi petrol diminta mengemukakan aduan rasmi berserta bukti dan maklumat lengkap kepada KPDN bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari berkata sebanyak 10 aduan rasmi melibatkan tujuh premis stesen minyak di negeri ini disiasat secara menyeluruh setakat 16 Oktober.
Menurutnya, KPDN turut mengambil dan menyita 27 tin sampel RON95 daripada pam pengisian yang terjejas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal.








