SHAH ALAM, 20 OKT: Kuala Selangor kekal menjadi satu-satunya kawasan di Selangor yang mencatat kualiti udara sederhana apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun daripada 97 pada jam 2 petang kepada 93 setakat jam 10 malam ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lima lagi kawasan di negeri ini masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat meskipun sebahagiannya menunjukkan sedikit penurunan.
Johan Setia mencatat bacaan tertinggi di Selangor iaitu 169 berbanding 170 pada sebelah petang, diikuti Shah Alam yang menurun daripada 170 kepada 166.
Petaling Jaya pula mencatat penurunan paling ketara daripada 170 kepada 164, manakala Klang merekodkan sedikit peningkatan daripada 163 kepada 164.
Sementara itu, bacaan IPU di Banting kekal pada paras 162.
Secara keseluruhan, empat daripada enam kawasan pemantauan di Selangor menunjukkan penurunan bacaan IPU berbanding sebelah petang, namun hanya Kuala Selangor berada pada tahap sederhana.
Mengikut klasifikasi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sederhana, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta memantau perkembangan kualiti udara menerusi portal APIMS.







