JPN Selangor sedia bantu siasatan murid meninggal dunia, kebajikan keluarga diutamakan

20 Okt 2026, 10:24 AM
JPN Selangor sedia bantu siasatan murid meninggal dunia, kebajikan keluarga diutamakan

SHAH ALAM, 20 OKT: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan kejadian seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, Sepang yang meninggal dunia, semalam.

JPN Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, berdasarkan laporan awal murid perempuan berkenaan mengalami kesukaran bernafas dan dipercayai tercekik makanan ketika berada di sekolah.

“JPN Selangor merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam kepada keluarga seorang murid perempuan Tahun Satu di SK Dengkil, Sepang yang meninggal dunia semalam.

“Guru-guru telah berusaha memberikan bantuan awal sebelum murid dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, namun murid berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, JPN Selangor berkata, keutamaan kini tertumpu kepada kebajikan keluarga serta kesejahteraan warga sekolah yang terkesan, termasuk penyediaan bantuan dan sokongan psikososial mengikut keperluan.

JPN Selangor turut menyeru sema pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.

“Semua pihak juga diminta menghormati privasi keluarga Allahyahamah serta memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Semoga keluarga Allahyarhamah dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di SK Dengkil sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Mangsa, Damiya Nur Mikayla Mior Shahrizal, 7, meninggal dunia di Hospital Putrajaya ketika sedang mendapatkan rawatan lanjut selepas diberikan bantuan awal pernafasan di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam semalam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.