Jerebu: Sekolah empat daerah Selangor tutup esok, Kuala Langat dan Sepang terlibat

12 Okt 2026, 7:53 AM
Jerebu: Sekolah empat daerah Selangor tutup esok, Kuala Langat dan Sepang terlibat

SHAH ALAM, 12 OKT: Semua sekolah di bawah empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor ditutup sepenuhnya esok susulan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan penutupan pada Selasa, 13 Oktober itu membabitkan sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang.

Menurutnya, semua sekolah di bawah PPD lain di Selangor akan beroperasi seperti biasa.

“Penutupan ini melibatkan semua sekolah di keempat-empat daerah berkenaan.

“Sementara itu, semua sekolah di daerah-daerah lain di Negeri Selangor beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan JPN Selangor hari ini.

Jabatan itu meminta pihak sekolah yang terlibat memaklumkan arahan penutupan kepada ibu bapa dan penjaga, selain mengambil langkah bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid terpelihara.

Pengumuman terbaharu itu menyaksikan Kuala Langat dan Sepang turut dimasukkan dalam senarai penutupan, manakala sekolah di bawah PPD Gombak yang ditutup hari ini dibenarkan beroperasi semula esok.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya turut ditutup esok akibat jerebu.

Menurutnya, penutupan turut melibatkan sekolah di bawah PPD Kuantan dan Rompin di Pahang, manakala sekolah di daerah lain di negeri itu beroperasi seperti biasa.

Sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak pula akan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

“Bagi sekolah yang beroperasi seperti biasa, pihak sekolah diminta memastikan aktiviti luar dipantau mengikut keadaan kualiti udara semasa.

“Ibu bapa, murid dan warga sekolah juga dinasihatkan supaya memakai pelitup muka yang bersesuaian apabila berada di luar khususnya di kawasan yang terjejas akibat jerebu,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Fadhlina turut meminta semua pihak mengikuti pengumuman rasmi sekolah, PPD dan JPN masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini.

JPN Selangor pula memaklumkan sebarang keputusan lanjut mengenai pembukaan semula sekolah akan diumumkan menerusi saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan jabatan berkenaan.

Terdahulu, sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana ditutup hari ini susulan keadaan jerebu, manakala sekolah di kawasan lain di Selangor beroperasi seperti biasa.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.