SHAH ALAM, 21 OKT: Penggunaan garam dalam Operasi Pembenihan Awan (OPA) tidak memberi kesan sampingan atau membahayakan kesihatan manusia.
Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mazli Mazlan berkata bahan yang digunakan ialah natrium klorida, iaitu garam biasa seperti yang digunakan dalam kehidupan harian.
“Garam ini adalah garam yang kita dapat di pasaran, iaitu garam yang kita masak dan makan.
“Cuma kita gunakan dalam kuantiti yang banyak untuk membantu mengaktifkan titisan air yang ada di dalam awan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Beliau turut menjelaskan air yang turun selepas proses pembenihan awan bukan air garam, sebaliknya hujan yang terbentuk daripada titisan air sedia ada di dalam awan.
“Air garam itu cuma mengaktifkan titisan air yang ada dalam awan supaya ia bercantum dan apabila semakin berat, ia akan turun dengan sendirinya,” katanya.

Menurutnya, dalam satu operasi sebanyak 800 kilogram garam dicampurkan dengan 6,000 liter air sebelum larutan berkenaan dimasukkan ke dalam empat tangki dan dimuatkan ke dalam pesawat untuk proses pembenihan awan.
Setiap tangki mengandungi kira-kira 200 kilogram garam dan 1,500 liter air, sebelum larutan disembur ke dalam awan yang dikenal pasti sesuai untuk menghasilkan hujan.
Mazli berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan penggunaan garam berkenaan kerana ia tidak mengandungi bahan berbahaya yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat.
OPA merupakan proses bagi menggalakkan pembentukan hujan dengan menyemburkan larutan natrium klorida ke dalam awan yang sesuai.
Lazimnya operasi ini dilaksanakan ketika negara berdepan cuaca panas dan kering berpanjangan, terutama apabila paras air di kawasan tadahan serta empangan menunjukkan penyusutan.
OPA turut digunakan sebagai langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan jerebu selain membantu meningkatkan bekalan air untuk kegunaan domestik, pertanian dan industri.
Pada 9 September, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Super El Nino yang dijangka bermula hujung tahun ini berpotensi membawa cuaca panas dan kering ekstrem dengan beberapa kawasan bakal merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius antara Januari hingga Mei tahun depan.
Jabatan itu memaklumkan kebarangkalian berlakunya fenomena berkenaan menghampiri 100 peratus berdasarkan ramalan model iklim daripada pusat pencerapan dan penyelidikan antarabangsa.
Keadaan itu turut berpotensi menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung, selain pedalaman Sabah dan Sarawak, mengalami suhu lebih tinggi daripada kebiasaan serta meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung Monsun Timur Laut pada Januari hingga Mei 2027.
MetMalaysia turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebakaran hutan dan jerebu susulan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering.






