SHAH ALAM, 6 APR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bermula hari ini hingga Khamis bagi menangani cuaca panas yang melanda negara.
Langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai usaha proaktif mengurangkan impak gelombang haba.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, operasi berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada empangan utama di Perak, Kedah, Perlis dan Johor.
Menurut beliau, keutamaan diberikan bagi memastikan kelangsungan bekalan air untuk kegunaan domestik dan sektor pertanian tidak terjejas akibat cuaca panas berpanjangan.
“OPA akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan utama… bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan laporan status cuaca terkini, Kota Setar, Kedah kini berada pada Tahap Dua atau Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Selain itu, beberapa kawasan lain di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor berada pada Tahap Satu (Berjaga-jaga) susulan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.
Mengulas lanjut, Arthur menjelaskan objektif utama operasi ini adalah untuk meningkatkan paras air di empangan strategik selain membantu menambah kelembapan ekosistem.
“Ini sekali gus dapat mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut,” katanya.
Namun, beliau menegaskan kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang kondusif termasuk kehadiran awan kumulus sesuai serta kelajuan angin yang rendah.
“Pasukan teknikal MetMalaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca… bagi menentukan lokasi sasaran yang tepat,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari, memastikan pengambilan air mencukupi serta menggunakan perlindungan diri seperti topi atau payung.
Pada masa sama, masyarakat turut diseru menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembakaran terbuka demi menjaga kualiti udara dan kelestarian alam sekitar.









