Jerebu: Sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa pada 20 Oktober

19 Okt 2026, 7:45 AM
Jerebu: Sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa pada 20 Oktober
Jerebu: Sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa pada 20 Oktober

SHAH ALAM, 19 OKT: Semua institusi pendidikan bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor beroperasi seperti biasa esok (20 Oktober), namun beberapa langkah berjaga-jaga dilaksanakan susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.

JPN Selangor memaklumkan semua aktiviti luar ditangguhkan, manakala murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tidak sihat.

"Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pentadbir sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, JPN Selangor mengarahkan pihak pentadbir sekolah supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Keadaan jerebu menjejaskan jarak penglihatan pengguna jalan raya di Johan Setia, Selangor. — Foto BERNAMA

"Sekolah juga diminta memberikan perhatian khusus kepada murid yang berisiko tinggi mengalami masalah pernafasan dan kesihatan," katanya.

JPN Selangor turut menasihatkan ibu bapa, penjaga serta warga sekolah supaya sentiasa merujuk saluran komunikasi rasmi jabatan atau sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini mengenai status pengoperasian institusi pendidikan.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, lima kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU tidak sihat berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Johan Setia di Klang kekal mencatat bacaan IPU tertinggi negara pada paras 172, diikuti Petaling Jaya (158), Klang (157), Banting (155) dan Shah Alam (153).

Sementara itu, Kuala Selangor menjadi satu-satunya kawasan pemantauan di negeri ini yang berada pada tahap sederhana dengan bacaan IPU 91.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.