SHAH ALAM, 23 OKT: Jumlah kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berkurangan kepada 15 setakat jam 3 petang ini berbanding 17, pagi tadi.
Bagaimanapun, lima kawasan di Selangor masih merekodkan IPU tidak sihat dengan Klang dan Johan Setia masing-masing mencatatkan bacaan 157, diikuti Petaling Jaya (153), Shah Alam (151) serta Banting (138).
Sementara itu, Kuala Selangor mencatatkan IPU sederhana dengan bacaan 79, sekali gus menjadi antara 50 kawasan di seluruh negara yang merekodkan tahap berkenaan.
Di peringkat nasional, Nilai, Negeri Sembilan merekodkan IPU tertinggi iaitu 158, diikuti Seremban (157), Batu Muda, Kuala Lumpur (155), manakala Bandaraya Melaka, Sri Aman di Sarawak dan Tangkak, Johor masing-masing mencatatkan bacaan 152.
Kawasan lain yang turut merekodkan IPU tidak sihat ialah Bukit Rambai, Melaka dan Batu Pahat, Johor masing-masing 151, IPD Serian, Sarawak (132) serta Putrajaya (116).
Dalam pada itu, hanya tiga kawasan merekodkan kualiti udara baik.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.








