SHAH ALAM, 19 OKT: Johan Setia di Klang terus merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara pada paras 172 setakat jam 1 tengah hari ini, dengan lima kawasan di Selangor masih berada pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Johan Setia tidak berubah berbanding jam 9 pagi tadi, sekali gus menjadikannya kawasan paling terjejas akibat jerebu di negara ini.
Empat lagi kawasan yang mencatat kualiti udara tidak sihat ialah Petaling Jaya dengan IPU 158, diikuti Klang (157), Banting (155) dan Shah Alam (153).
Bagaimanapun, bacaan di keempat-empat kawasan itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding jam 9 pagi tadi apabila Petaling Jaya mencatat IPU 160, Klang (158), Banting (156) dan Shah Alam (154).
Sementara itu, Kuala Selangor menjadi satu-satunya kawasan pemantauan di negeri ini yang berada pada tahap sederhana dengan bacaan IPU 91 setakat jam 1 tengah hari.
Di peringkat nasional, sebanyak 24 kawasan masih mencatat kualiti udara tidak sihat berdasarkan data terkini, berkurang berbanding 27 kawasan yang direkodkan pada sebelah pagi.
Selepas Johan Setia, bacaan tertinggi direkodkan di Nilai, Negeri Sembilan serta Alor Gajah dan Bukit Rambai di Melaka, masing-masing dengan IPU 166.
Mengikut klasifikasi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala melebihi 300 berbahaya.







