Perpustakaan tidak lagi sunyi, kini rumah kedua komuniti

20 Okt 2026, 4:00 AM
Perpustakaan tidak lagi sunyi, kini rumah kedua komuniti
Perpustakaan tidak lagi sunyi, kini rumah kedua komuniti
Perpustakaan tidak lagi sunyi, kini rumah kedua komuniti

Dari jauh terdengar riuh-rendah kanak-kanak bermain ceria. Namun, ini bukan pusat beli-belah, sebaliknya sebuah perpustakaan.

Suasananya cukup menyeronokkan. Kanak-kanak seawal usia tiga tahun hingga golongan warga emas memenuhi ruang Perpustakaan Syed Mashor di Kuala Kubu Bharu itu.

Bagi sesetengah orang, perpustakaan mungkin masih dibayangkan sebagai tempat senyap, hanya sarat timbunan buku manakala pengunjung hanya duduk diam.

Namun, tanggapan itu mungkin berubah selepas berkunjung ke perpustakaan di pekan Kuala Kubu Bharu itu. Di sini, kanak-kanak berlarian, remaja bersantai sambil menyiapkan kerja sekolah manakala golongan dewasa memilihnya sebagai tempat bekerja.

Pendek kata, perpustakaan tersebut bukan lagi sekadar tempat mengulit buku, sebaliknya rumah kedua buat masyarakat setempat.

Ada ibu bapa menjadikannya sebagai tempat persinggahan sebelum anak mereka ke sekolah. Di situ ada disediakan kemudahan untuk mandi, menukar pakaian dan menunaikan solat.

Ternyata, konsep Rumah Kedua itu memberi wajah berbeza kepada perpustakaan di luar bandar.

Kanak-kanak meluangkan masa bermain di Perpustakaan Syed Mashor Perpustakaan Awam Selangor Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 25 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pustakawan, Siti Norsalizah Mahmud berkata perubahan kian ketara selepas perpustakaan tersebut dibuka semula pada tahun 2022 selepas kerja pengubahsuaian.

Perpustakaan yang mula beroperasi pada 1984 itu kini tampil dengan suasana mesra pengunjung. Masakan tidak, pengunjung hari biasa mencecah lebih 500 orang manakala hujung minggu menghampiri 1,000 orang.

“Suasananya lebih santai. Kita juga banyak buat aktiviti terutama hujung minggu dan cuti sekolah. Kanak-kanak paling ramai terutama umur 12 tahun ke bawah. Remaja pun ada, biasanya mereka datang untuk belajar, buat kerja sekolah atau gunakan Wi-Fi percuma.

“Kadang-kadang mereka datang bermain telefon atau permainan komputer. Kita tidak halang tetapi kita ingatkan juga tentang disiplin dan waktu solat,” katanya kepada Media Selangor.

Lebih menggembirakan Siti Norsalizah apabila kanak-kanak yang datang ke perpustakaan makin pandai berdikari. Mereka tahu ke tandas, kafe selain menunaikan solat tanpa perlu ditemani.

“Kadang-kadang kita tegur, ‘dah solat belum?’ Kalau belum, kita suruh pergi solat dulu. Lepas itu sambunglah bermain.

“Bila kita sudah biasa dengan mereka, rasa macam anak sendiri. Terlalu ramai anak di sini, macam-macam perangai,” katanya.

Adibah Hashim pula menjadikan perpustakaan itu sebagai rumah kedua. Sejak tujuh tahun lalu. Beliau ke situ bersama anaknya Farah Aifa Afiyah. Guru itu menghabiskan kira-kira lima jam sambil menyiapkan tugasan dan mengajar anaknya.

“Saya suka datang sebab tempat ini selesa dan kondusif terutama untuk buat kerja sambil bawa anak. Surau, tandas dan kafe pun ada. Jadi senang, tidak perlu fikir hendak pergi tempat lain,” katanya.

Anaknya yang berusia tujuh tahun juga gemar ke perpustakaan itu terutama pada cuti sekolah. Bagi Adibah, perubahan perpustakaan itu cukup ketara berbanding kunjungannya tujuh atau lapan tahun lalu.

“Dulu macam perpustakaan biasa. Pengunjung tidak ramai dan suasananya pun agak suram. Sekarang lain. Banyak kemudahan dan orang pun datang daripada pelbagai peringkat umur, daripada kanak-kanak sampai warga emas,” katanya.

Muhammad Aiman Irsyaduddin, 14, dari SMK Dato' Haji Kamaruddin menyusun buku di Perpustakaan Syed Mashor di Hulu Selangor pada 25 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pelajar tingkatan satu, Muhammad Khalid Syakir Muhammad Razali juga lebih suka berada di perpustakaan berbanding di rumah. Jika selesai kerja sekolah dan membaca buku, beliau bermain komputer. Bayaran cuma RM1 untuk sejam.

“Kalau duduk di rumah, tengok televisyen seorang diri bosan. Kalau datang sini boleh jumpa kawan, main permainan. Kalau ada kerja sekolah, boleh buat sama-sama. Saya pun selalu dapat kawan baru bila datang ke perpustakaan,” katanya.

Perpustakaan itu bukan hanya pilihan kanak-kanak dan penduduk setempat. Ada juga pengunjung dari Kuala Lumpur yang memilihnya sebagai pejabat sementara apabila pulang ke kampung.

Pekerja teknologi maklumat, Ho Jia Shing, 32, memilih perpustakaan itu untuk menyiapkan kerja kerana suasananya lebih tenang berbanding rumah atau kafe.

“Di sini lebih tenang, ada pendingin hawa, meja dan kerusi. Jadi senang mahu fokus,” katanya yang menyifatkan perpustakaan itu membantu penduduk bandar kecil yang kurang pilihan ruang kerja.

“Kalau hendak cari tempat bekerja, inilah antara pilihan yang ada. Tidak perlu pergi jauh atau duduk di kafe. Bagi saya, perpustakaan ini memang bermanfaat untuk komuniti,” katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.