Kuala Kubu Bharu, pekan kecil menyimpan sejarah besar

16 Okt 2026, 7:00 AM
Kuala Kubu Bharu, pekan kecil menyimpan sejarah besar
Kuala Kubu Bharu, pekan kecil menyimpan sejarah besar
Kuala Kubu Bharu, pekan kecil menyimpan sejarah besar
Kuala Kubu Bharu, pekan kecil menyimpan sejarah besar

“Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu.”

Demikian bait lagu Joget Kenangan Manis, nyanyian seniman tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, yang malar segar meniti bibir peminatnya.

Tidak hanya menjadi siulan, lirik itu juga diabadikan pada batu buatan yang menjadi mercu tanda Kuala Kubu Bharu (KKB), ilham pengasas Galeri Seni dan Sastera Hulu Selangor, Allahyarham Abdul Wahab Abdul Hamid.

Pekan yang kaya dengan sejarah itu memang sudah cukup dikenali sejak dahulu, bukan sekadar terkenal menerusi lagu.

Di situ wujudnya empangan pertama di Tanah Melayu, terbina pada 1780-an. Binaannya disifatkan unik kerana struktur empangan menggunakan kayu balak bagi menakung air Sungai Kubu.

Hasil keringat masyarakat orang-orang Melayu dengan bantuan Orang Asli akhirnya terbinalah sebuah empangan kukuh sepanjang 1.6 kilometer dengan lebar 90 meter hanya menggunakan kayu dan tanah.

Kemampanannya berfungsi sebagai takungan air dan alat melampan bijih timah menjadikan kegiatan perlombongan pada era berkenaan lebih efisien.

FA Swettenham, Residen Selangor pernah menyifatkannya sebagai empangan raksasa. Namun, pada 1883 empangan tersebut pecah dan mengorbankan 35 nyawa manakala hampir 1,500 penduduk hilang harta benda.

Setiausaha Persatuan Sejarah Kuala Kubu Bharu Siti Noor Suhaida Mohd Sufiee kdtika ditemui di Galeri Sejarah KKB pada 26 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kubu pertahanan

Kuala Kubu juga memainkan peranan penting dalam Perang Saudara Selangor (1869–1875). Syed Mashor, sekutu Raja Mahadi, membina beberapa kubu pertahanan dengan bantuan pemimpin Cina.

Dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada 2018, wakil rakyat ketika itu mendiang Lee Kee Hiong memaklumkan nilai warisan KKB sebagai Bandar Taman (Garden City) pertama di Tanah Melayu.

Disebabkan kaya dengan sejarah, seni bina dan pernah menjadi tapak perkembangan ekonomi, KKB bakal diangkat sebagai produk pelancongan menerusi Garden City Heritage Trail.

Inisiatif tersebut digerakkan Persatuan Sejarah Kuala Kubu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan Tourism Selangor.

Setiausaha Persatuan Sejarah Kuala Kubu, Siti Noor Suhaida Mohd Sufiee berkata, usaha itu bukan sekadar membawa pelancong melihat bangunan lama, sebaliknya mahu mereka membawa pulang ilmu berharga tentang KKB.

“Kalau datang ke KKB, kita bukan mahu pelancong sekadar datang, bergambar dan balik. Kalau boleh, kami nak mereka balik dengan cerita tentang sejarah pekan ini dan menghargainya,” katanya kepada Media Selangor.

Menerusi konsep Garden City Heritage Trail, pengunjung dibawa meneroka lokasi menarik di KKB bermula di galeri sejarah, kemudian meneruskan perjalanan untuk melihat sendiri tinggalan yang ada di pekan berkenaan.

Pendekatan tersebut mampu membuka lembaran baharu buat KKB sebagai destinasi pelancongan, selain membantu masyarakat tempatan melihat nilai ekonomi yang boleh dijana daripada khazanah sedia ada.

Siti Noor Suhaida menambah, KKB pernah menjadi lokasi penting pertukaran barangan termasuk rempah-ratus malah Sungai Selangor turut berperanan sebagai laluan perdagangan ketika kegiatan ekonomi berkembang pesat.

“Orang luar datang menggunakan kereta api untuk berdagang dan bertukar barangan di sini. Sungai Selangor juga pernah menjadi laluan perdagangan.

“Sebab itu walaupun KKB terletak di kawasan yang dikelilingi bukit dan hutan, ekonomi serta sejarahnya sangat mahal,” katanya.

Pengerusi Persatuan Sejarah Kuala Kubu Bharu Muhammad Hairiy Marazat kdtika ditemui di Galeri Sejarah KKB pada 26 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dokumentasi bahan sejarah

Dalam usaha memastikan sejarah berkenaan tidak hilang ditelan pembangunan, Persatuan Sejarah Kuala Kubu yang ditubuhkan sejak 2013 giat mengumpul, mendokumentasi dan memelihara bahan berkaitan sejarah KKB.

Bahan sejarah diperoleh daripada penduduk lama, keluarga komuniti terdahulu, pejabat daerah dan tanah, Arkib Negara serta pelbagai sumber lain disemak dan disusun sebelum dipaparkan untuk tatapan umum.

Persatuan turut bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan fakta sejarah yang dipamerkan dapat disahkan sebelum diterbitkan atau dipamerkan kepada pengunjung.

Pembukaan Galeri Sejarah Kuala Kubu antara lambang kesungguhan pencinta bahan sejarah yang tidak pernah kenal erti jemu mencari kebenaran bagi memastikan masyarakat terus mengenali asal usul kota berkenaan.

Menariknya, bangunan galeri yang tersergam indah itu pada asalnya kuarters pejabat daerah dan tanah yang pernah terbakar serta terbiar untuk beberapa tempoh sebelum dibangunkan semula.

“Bangunan ini dulu pernah terbakar dan terbengkalai. Persatuan mengambil inisiatif untuk menghidupkannya semula dengan bantuan pelbagai pihak.

“Ada agensi yang menyalurkan peruntukan, termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang pernah membantu usaha kita,” tambahnya lagi.

Galeri Sejarah KKB. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kini, bangunan yang satu ketika terbiar telah berubah wajah menjadi lokasi simpanan pelbagai gambar lama, bahan sejarah dan kisah perkembangan KKB untuk tatapan orang ramai.

Bagaimanapun, usaha menghidupkan sejarah KKB tidak terlepas daripada cabaran, terutama untuk menarik minat generasi muda mengenali sejarah tempat sendiri.

Baginya, sejarah bukan sekadar untuk disimpan dalam buku atau galeri, namun dia dan ahli persatuan yang lain mahu ia dihidupkan dan diceritakan semula.

“Kita tidak mahu pembangunan menghilangkan jiwa dan jati diri KKB. Kalau pelancong datang ke KKB dan balik dengan cerita tentang sejarahnya, itu sudah cukup bermakna untuk kami.”

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.