SHAH ALAM, 15 NOV: Fasa satu Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang dilaksana bagi menjaga keterjaminan makanan akan lengkap sepenuhnya tahun hadapan.
EXCO pertanian berkata sejak dilancar pada 2022, banyak projek rintis yang dijalankan berjaya antara penanaman halia dan Melon Selangor (MeloSel) malah turut mendapat permintaan tinggi.
“Sasaran tahun depan kita nak lengkapkan semua projek yang kita jalankan termasuk meluaskan lagi tanaman. Kita akan teliti dan tambah baik sebelum PeTA fasa dua dijalankan pada 2026.
“Fasa pertama lebih kepada kajian dan projek rintis dan tahun depan kita buat menyeluruh. Kita akan tambah baik supaya matlamat projek tercapai.
“Kita juga sudah kaji dan buat pembenihan seperti udang harimau, lembu wagyu untuk dijalankan tahun depan,” kata Ir Izham Hashim pada Hari Inovasi Pertanian Selangor 2024.
[caption id="attachment_673139" align="aligncenter" width="1197"]
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat pameran selepas merasmikan Hari Inovasi Pertanian Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 14 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Berikutan itu beliau berharap pihaknya menerima peruntukan tinggi pada Belanjawan Selangor 2025 yang akan dibentang Dato’ Menteri Besar hari ini bagi memperkasa sektor pertanian.
Pada 2022, Kerajaan Negeri melaksanakan PeTA yang menekankan lima asas bagi jaminan bekalan makanan rakyat.
Ia meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro.
Inisiatif tersebut juga memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bagi meningkatkan hasil pengeluaran.


