ad

PeTA perkasa sektor agro moden, Izham teruja lihat projek tani impak tinggi di Hulu Selangor

5 Nov 2025, 4:30 AM
PeTA perkasa sektor agro moden, Izham teruja lihat projek tani impak tinggi di Hulu Selangor
PeTA perkasa sektor agro moden, Izham teruja lihat projek tani impak tinggi di Hulu Selangor
PeTA perkasa sektor agro moden, Izham teruja lihat projek tani impak tinggi di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) bagi memperkasa sektor pertanian sebagai sumber makanan strategik sekali gus pemangkin kepada agropelancongan dan ekonomi tempatan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pelan berkenaan digerakkan bagi memastikan pertanian negeri lebih berdaya saing melalui penggunaan teknologi moden, inovasi dan pembangunan agropreneur.

“Kerajaan Negeri melalui dasar PeTA berhasrat memperkukuh sektor pertanian bukan sekadar sebagai sumber makanan, tetapi juga sebagai pemangkin agropelancongan dan ekonomi tempatan,” tulisnya di Facebook.

Kelmarin, beliau meninjau beberapa projek pertanian berimpak tinggi di Hulu Selangor termasuk Kebun Kopi @ Bernam Valley serta Agropark Kalumpang, yang menumpukan projek tanaman halia dan penternakan lebah madu di bawah pengurusan Kohijrah Honey Farm.

“Seronok melihat semangat usahawan tani kita, penuh daya usaha dan idea baharu.

Setiap kali turun ke lapangan, saya belajar sesuatu yang baharu tentang betapa besarnya nilai keringat petani dan penternak dalam memastikan rakyat menikmati hasil segar dari bumi sendiri,” katanya.

Ir Izham berkata lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem pertanian Selangor melalui projek-projek yang bukan sahaja menambah nilai kepada hasil tempatan malah menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi setempat.

“Dari secawan kopi yang kita minum setiap pagi hingga madu asli di dapur rumah, semuanya bermula daripada tangan-tangan gigih mereka.

PeTA memastikan usaha ini terus diperkasa melalui dasar yang jelas dan pelaksanaan tersusun,” katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor Julaihah Jamaludin dan Pengarah Pertanian Negeri Selangor Azahar Ibrahim.

Dilancarkan pada 2022, PeTA menumpukan lima teras utama jaminan makanan negeri meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan lengkap, pembangunan agropreneur serta pelancongan agro.

Fasa pertama PeTA yang memfokuskan tanaman bernilai tinggi seperti Melon Selangor (MeloSel), vanila dan bawang dijangka selesai tahun ini sebelum diteruskan ke fasa kedua, sejajar dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025.