71 peratus pelajar tajaan Yayasan Selangor raih 5A dalam SPM

17 Okt 2026, 9:00 AM
71 peratus pelajar tajaan Yayasan Selangor raih 5A dalam SPM

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Sebanyak 71 peratus pelajar tajaan Yayasan Selangor memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepanjang tiga tahun kebelakangan ini menerusi program pendidikan kendalian yayasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Raja Nazirin Shah Raja Mohamad berkata, pencapaian itu didorong tiga program utama iaitu Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor (RKPYS), Program High Potential Students (HIPERS) dan BITARA Yayasan Selangor.

Menurutnya, program BITARA mencatat pencapaian cemerlang apabila semua pelajarnya mencapai keputusan cemerlang sepanjang tempoh yang dinyatakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, YM Raja Nazirin Shah Raja Mohamad berucap sempena majlis Semarak Kasih bersama pelajar Yayasan Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Program BITARA Yayasan Selangor merupakan program yang paling cemerlang yang mana pelajar melalui program ini mencapai 100 peratus cemerlang sepanjang tiga tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2025,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Semarak Kasih Murid Tingkatan Lima Yayasan Selangor 2026 yang meraikan 740 calon SPM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. Majlis itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Raja Nazirin Shah berkata, Yayasan Selangor terus memperluas penyertaan pelajar menerusi program pendidikan yang ditawarkan, termasuk RKPYS.

Pelajar Yayasan Selangor menghadiri majlis Semarak Kasih bersama pelajar Yayasan Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada 2024, yayasan itu menawarkan tempat kepada 371 pelajar Tingkatan Satu menerusi RKPYS, sebelum meningkat kepada 423 pelajar pada 2025 dan 496 pelajar pada 2026, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, program HIPERS menyasarkan pelajar berpotensi cemerlang daripada keluarga B40 dan M40 di Selangor, bermula Tahun Empat sekolah rendah hingga Tingkatan Lima.

“Seramai 2,160 orang pelajar menerima manfaat program ini melalui 11 sekolah rendah dan 13 sekolah menengah di seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata, secara purata Yayasan Selangor mengambil sehingga 1,000 pelajar baharu setiap tahun, termasuk menerusi proses SERAP yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi memperluas peranan yayasan itu ke sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah aliran perdana dan Maahad Integrasi Tahfiz.

Dari segi pembiayaan, Yayasan Selangor membelanjakan RM901,428 bagi menampung program pendidikan peringkat rendah dan menengah.

“Secara purata keseluruhan RM3.2 juta dibelanja setiap tahun untuk program pendidikan termasuk program pembiayaan pendidikan di peringkat pendidikan tinggi,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.