GOMBAK, 25 OKT: Yayasan Selangor menyasarkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 4.59 pada tahun 2024 kepada 4.52 bagi peperiksaan tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendidikannya, Muhamad Tassim Zainal, berkata bagi mencapai sasaran itu, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) menganjurkan Seminar Skor A+ menjelang peperiksaan akhir tahun bagi menggilap potensi pelajar cemerlang.
“Seminar ini melibatkan seramai 2,000 pelajar cemerlang dari 10 daerah di seluruh Selangor, dengan memberi tumpuan kepada tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
“Kita turut menampilkan barisan guru pakar dan penceramah berpengalaman yang berkongsi strategi menjawab soalan, selain sesi motivasi untuk menyuntik semangat, disiplin dan keyakinan diri menjelang peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor ketika ditemui selepas majlis perasmian program Seminar Skor A+ oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.
Muhamad Tassim berkata, seminar yang dianjur buat kali kedua itu diyakini mampu menjadi indikator kejayaan terhadap keberkesanan intervensi akademik Yayasan Selangor.
“Penganjuran seminar ini sejajar dengan peranan Yayasan Selangor sebagai rakan strategik utama pendidikan negeri, bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi akademik, tetapi juga memperkukuh motivasi serta keyakinan diri pelajar sama ada dari bandar mahupun luar bandar,” katanya.






