496 pelajar tingkatan satu di Selangor dan KL terpilih sertai program khas Yayasan Selangor

15 Jan 2026, 8:27 AM
496 pelajar tingkatan satu di Selangor dan KL terpilih sertai program khas Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 15 JAN: Seramai 496 pelajar tingkatan satu dari Selangor dan Kuala Lumpur terpilih menyertai Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan–Yayasan Selangor bagi sesi persekolahan 2026.

Menurut Yayasan Selangor, pelajar terpilih ditempatkan di 28 sekolah tajaan di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur berdasarkan kuota serta penempatan strategik yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan.

"Yayasan Selangor menerima 3,184 permohonan bermula 22 September hingga 15 Oktober 2025, manakala semakan keputusan dibuka dari 10 hingga 31 Disember 2025.

"Pelajar yang terpilih berasal dari keluarga berpendapatan rendah bawah RM2,000 dan mendapat sekurang-kurangnya gred TP3 dalam semua mata pelajaran pentaksiran bilik darjah Tahun 6," menurut yayasan itu dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Raja Nazirin Shah Raja Mohamad (kiri, tujuh) bergambar bersama pelajar selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa di Dewan Bestari Asrama Yayasan Selangor Klang pada 29 April 2025. Foto Facebook Yayasan Selangor (YS)

Dilaksanakan sejak 1971, program khas ini menyasarkan pelajar berpotensi daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Semua pelajar akan menikmati pelbagai keistimewaan selaras ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia, antaranya termasuklah:

  • kemudahan asrama

  • biasiswa

  • kelas bimbingan

  • program kecemerlangan akademik

  • pembangunan kendiri

Menurut yayasan itu, pendaftaran pelajar yang ditempatkan di Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam telah dijalankan pada 9 dan 11 Januari lalu.

"Yayasan Selangor turut melantik seorang guru penyelaras di setiap sekolah tajaan bagi memantau pencapaian akademik serta kebajikan pelajar,” tambah kenyataan itu.