KUALA LUMPUR, 17 OKT: Klang dan Johan Setia antara lima kawasan di Selangor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini dengan rekod masing-masing 170.
Selain itu Petaling Jaya merekodkan bacaan 169, Shah Alam (170) serta Banting (153).
Selain lima kawasan berkenaan, 19 kawasan lain di seluruh negara mencatat IPU pada tahap tidak sihat dengan Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 195.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), enam kawasan di Johor turut melaporkan IPU tidak sihat, iaitu Larkin dengan 177, Pengerang (174), Kota Tinggi (172), Batu Pahat (170), Tangkak (168) dan Segamat (161).
Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan IPU 173, Seremban (172) dan Port Dickson (157).
Bacaan IPU tidak sihat turut dilaporkan di tiga kawasan di Melaka, iaitu Bandaraya Melaka (169), Bukit Rambai (166) dan Alor Gajah (165) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kawasan Cheras (162) dan Batu Muda (159), manakala Putrajaya mencatat bacaan 162.
Di Sabah, Sandakan merekodkan bacaan IPU 156 dan Tawau (150), manakala Kluang di Johor mencatat bacaan 159.
Sebanyak 43 kawasan mencatat bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala satu kawasan merekodkan bacaan pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.










