Selangor catat 358 aduan merokok, vape menerusi MyLapor

17 Okt 2026, 1:19 AM
Selangor catat 358 aduan merokok, vape menerusi MyLapor

SHAH ALAM, 17 OKT: Selangor merekodkan jumlah aduan tertinggi menerusi sistem MyLapor, dengan 358 aduan berkaitan kesalahan merokok dan penggunaan vape di kawasan larangan merokok sejak sistem itu dilancarkan pada 12 Oktober lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah aduan kedua tertinggi, iaitu 210 kes, diikuti Johor dengan 160 kes bagi tempoh 12 hingga 15 Oktober.

MyLapor merupakan saluran aduan digital yang membolehkan orang ramai melaporkan kesalahan merokok di kawasan larangan merokok kepada KKM, selain membantu penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menurut kenyataan Program Kesihatan Awam KKM dipetik Berita Harian lagi, kebanyakan aduan yang diterima melibatkan kawasan tempat makan, yang terus menjadi tumpuan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 1,113 aduan diterima menerusi sistem MyLapor sehingga jam 2 petang, 15 Oktober.

“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 471 aduan sudah berjaya ditutup, manakala 347 ialah aduan baharu, 232 sedang dalam siasatan dan 63 lagi dalam proses penyelesaian serta maklum balas,” katanya. 

KKM turut mengesahkan sebanyak 216 kompaun dikeluarkan hasil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan di bawah Akta 852.

Bagi memastikan aduan ditangani dengan pantas, KKM menetapkan sasaran 48 jam untuk proses pengesahan dan penyelesaian aduan, termasuk semakan maklumat serta tindakan susulan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Bagaimanapun, aduan yang lebih kompleks dijangka mengambil masa sehingga dua minggu untuk diselesaikan sepenuhnya.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi aplikasi MySejahtera, mengimbas kod QR MyLapor yang dipaparkan di premis atau melayari laman sesawang MyLapor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.