Perokok setuju tindakan tegas elak tabiat buang puntung

21 Mei 2026, 7:30 AM
Perokok setuju tindakan tegas elak tabiat buang puntung
Perokok setuju tindakan tegas elak tabiat buang puntung

SHAH ALAM, 21 MEI: Orang ramai termasuk perokok mengakui penguatkuasaan tegas termasuk denda sehingga RM2,000 dan khidmat masyarakat selama 12 jam perlu dikenakan terhadap individu yang membuang puntung merata-rata.

Pelaksanaan itu berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) sejak 1 September 2011 manakala perintah khidmat masyarakat dibuat agresif sejak awal tahun ini.

Akta tersebut memperuntuk individu yang didapati membuang sampah termasuk puntung rokok di kawasan awam berdepan denda sehingga RM2,000 dan boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat.

Pengusaha gerai makanan di Seksyen 2 di sini Ramlan Marzuki, 60, berpandangan tindakan tersebut penting bagi mendidik perokok supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan dan alam sekitar.

Ramlan Marzuki. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

"Saya sangat setuju sebab puntung rokok ini mencemarkan alam sekitar dan boleh membahayakan haiwan liar kerana mereka mungkin tidak tahu apa benda itu lalu memakannya," katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak zon merokok di lokasi awam diadakan bagi mengurangkan gangguan terhadap orang ramai supaya tidak terdedah kepada asap rokok.

Ruhaiqal Aiman Hanif, 24, pula mengakui beliau lebih kerap merokok di rumah dan mengelak dari berbuat demikian di restoran atau kawasan terbuka kerana tidak mahu mengganggu orang lain.

"Sebab itu saya lebih banyak merokok di rumah. Kalau buang puntung rokok merata-rata pun tak bagus sebab bukan manusia sahaja hidup di sini. Takut haiwan makan dan mati," katanya.

Ruhaikal Aiman Hanif Ramli. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

Beliau mengakui pelaksanaan denda boleh menjadi pengajaran kepada perokok tegar supaya lebih peka terhadap kebersihan dan kesan perbuatan mereka terhadap orang sekeliling.

Menurut Aqil Che Abdul Razak, 31, tindakan denda itu langkah baik untuk mendidik masyarakat menjaga kebersihan seterusnya mendorong perokok berfikir dua kali sebelum membuang puntung.

"Sebelum ini mungkin saya tak terlalu fikir buang puntung rokok di mana-mana tetapi bila ada denda mungkin saya akan lebih berhati-hati dan buang di tempat sepatutnya," kata kakitangan kerajaan itu.

Aqil Che Abdul Razak. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

Namun, beliau berharap kemudahan untuk perokok di negara ini ditambah kerana tidak mencukupi berbanding negara lain yang menyediakan zon merokok sekali gus mangatasi isu pembuangan puntung.

"Kalau di Jepun mereka ada zon khas merokok yang jauh sedikit daripada orang ramai, siap ada bumbung dan tempat buang abu rokok," katanya.

Pesara kerajaan, Mazali Johari, 67, pula berkata penguatkuasaan denda wajar supaya undang-undang yang diperkenal benar-benar berkesan, bukan sekadar atas kertas.

"Jangan sekadar ada akta atau undang-undang tetapi pelaksanaannya tidak dikuat kuasa kerana itulah menyebabkan perokok sesuka hati membuang puntung rokok di mana-mana," katanya.

Mazali Johari. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

Bekas perokok itu berpendapat kerajaan juga perlu menyediakan kemudahan lebih sesuai di kawasan merokok termasuk menyediakan tong sampah atau tempat khas membuang puntung rokok.

Amir Hafiz Baharudin, 33, pula berkata penguatkuasaan denda berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih menghormati orang lain terutama di kawasan awam termasuk kedai makan.

"Ada orang masih merokok walaupun terdapat budak kecil di sekeliling mereka. Kalau mahu merokok, carilah tempat lebih sesuai dan jauh sedikit daripada orang ramai supaya perokok sekunder tidak terkena tempias asap rokok," katanya.

Fakta rokok & mikroplastik. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.