PETALING JAYA, 27 SEPT: Tiga Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Taman Medan Cahaya, di sini, menjadi komuniti strata pertama menerima insentif Strata People’s Active Rejuvenation Komuniti (SPARK) berjumlah RM8,000.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata insentif itu membolehkan JMB Blok A, B dan C melaksanakan kerja mencantikkan serta menceriakan kawasan kediaman masing-masing.
“Saya berharap melalui inisiatif ini, JMB bersama penduduk dapat berbincang dan menentukan bagaimana ruang bersama di kawasan masing-masing dapat diceriakan serta dimanfaatkan untuk kegunaan komuniti.
“Kita tidak mahu SPARK sekadar menjadi projek mencantikkan kawasan semata-mata tetapi mahu penduduk sendiri terlibat, ada rasa memiliki dan akhirnya sama-sama menjaga apa yang telah dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Borhan berharap pelaksanaan SPARK di Pangsapuri Taman Medan Cahaya dapat menghasilkan perubahan yang menjadi contoh dan mencetuskan semangat JMB lain untuk turut menghidupkan ruang bersama di kawasan kediaman masing-masing.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan SPARK melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi memperkasa pengurusan serta kesejahteraan komuniti strata.
Menurut Borhan, SPARK memberi tumpuan kepada usaha menghidupkan semula ruang bersama di kawasan pangsapuri menerusi penglibatan komuniti.
Sementara itu, beliau berkata Program Rewang Komuniti Strata yang dilaksanakan sejak 2024 pula bertujuan memperkukuh semangat kejiranan, kebersamaan dan sikap saling membantu dalam kalangan penduduk strata.
“Kita namakan program ini ‘rewang’ kerana semangat rewang itu sendiri cukup dekat dengan masyarakat kita. Bila ada kerja, kita buat bersama-sama. Bila jiran perlukan bantuan, kita hulurkan tangan.
“Dari situ kita saling mengenali, saling mengambil berat dan akhirnya membina komuniti yang lebih kuat. Inilah yang kita mahu bawa ke kawasan strata,” katanya.
Tahun ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Program Rewang Komuniti Strata bertemakan ‘Rewang Komuniti Ke Arah Kelestarian Komuniti Pangsapuri’ diteruskan dengan peruntukan RM2 juta.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan dijadualkan berlangsung di gugusan pangsapuri berbeza dengan penglibatan agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan bagi meneliti secara dekat isu serta keperluan penduduk strata.








