KUALA LUMPUR, 18 OKT: Penyelarasan antara agensi, penggunaan teknologi dan penambahbaikan sistem pengangkutan menjadi antara usaha Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) bagi memperkukuh ekosistem mobiliti di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ramali Abu Bakar berkata Selangor Mobility Symposium (SMS) 2026 menjadi platform menghimpunkan agensi, pihak berkepentingan dan pengguna pengangkutan awam bagi membincangkan keperluan mobiliti secara menyeluruh.

“SMS 2026 bertujuan menghimpunkan agensi-agensi daripada pelbagai pemegang taruh termasuk pihak kerajaan, PBT, industri, operator dan juga pengguna pengangkutan awam sendiri supaya kita dapat melihat mobiliti sebagai satu perjalanan menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada satu perkhidmatan pengangkutan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Media Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, semalam.
Menurutnya, penganjuran SMS 2026 turut bertujuan menggalakkan lebih ramai penduduk, khususnya di Selangor, menggunakan pengangkutan awam menerusi penyelarasan usaha antara pihak berkaitan.
“Semua pihak perlu berbincang dan menyelaraskan usaha bagi memastikan perjalanan pengguna lebih mudah, lancar dan saling berhubung,” katanya.

Beliau berkata, RMSB berperanan menyelaras pihak berkaitan bagi mengenal pasti keperluan pengguna serta merangka langkah penambahbaikan untuk meningkatkan pengalaman menggunakan pengangkutan awam.
Usaha itu termasuk mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan bagi menambah baik kemudahan serta sistem pengangkutan sedia ada mengikut keperluan.
Dalam pada itu, penggunaan teknologi turut diberi perhatian bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan mengakses perkhidmatan pengangkutan awam.
Mohd Ramali berkata, dua inisiatif yang dipersetujui untuk dilaksanakan ialah Journey Planner dan Selangor Mobility Centre sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem mobiliti di Selangor.
“Untuk melaksanakan ini, sudah tentu akan mengambil sedikit masa. Kita minta rakyat Selangor sama sama nantikan hasil yang telah dirancang oleh kerajaan Negeri untuk mendapatkan satu system mobility yang pintar, baik untuk kemudahan pergerakan rakyat di seluruh negeri Selangor,” katanya.
Menurutnya, pemindahan teknologi, latihan dan khidmat nasihat pakar turut membolehkan kepakaran berkaitan mobiliti dimanfaatkan bagi menyokong penambahbaikan sistem pengangkutan negeri.
Beliau berkata, kerjasama antara pihak berkaitan penting bagi memastikan perancangan mobiliti mengambil kira keperluan pengguna serta hubungan antara pelbagai perkhidmatan pengangkutan.
Mengulas lanjut, Mohd Ramali berkata, Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berdepan keperluan mobiliti yang semakin meningkat seiring perkembangan aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan dan kawasan kediaman.
Justeru, katanya, penambahbaikan sistem mobiliti perlu dimulakan dari sekarang bagi memastikan pergerakan rakyat terus lancar dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Beliau berharap penyelarasan berterusan antara agensi dan penggunaan teknologi dapat membantu membentuk ekosistem mobiliti Selangor yang lebih cekap, bersepadu dan mesra pengguna.








