KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pendedahan kepada pelbagai syarikat dan peluang pekerjaan dalam sektor berbeza menjadi antara tarikan SCOUT Talent Expo sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, khususnya dalam kalangan pelajar dan pencari kerja.
Bagi Noor Afiqa Farisha Mohd Faris, 21, dan Nur Ainna Jannah Rohadi, 21, pelajar tahun kedua Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), ekspo itu membuka peluang untuk meneroka tawaran latihan industri lebih awal.
Mereka berkata, maklumat mengenai SCOUT diperoleh daripada pensyarah yang menggalakkan mereka mengunjungi ekspo berkenaan bagi mengenali industri dan mendapatkan pendedahan awal mengenai alam pekerjaan.

“Kami rasa berminat walaupun masih di tahun kedua pengajian, kami nak ambil tahu tentang expo kerjaya ini macam mana dan ingin mencari peluang.
“Kami tak sangka ada banyak syarikat sebenarnya, selain daripada syarikat yang ternama dan banyak peluang sebenarnya di sini,” kata mereka ketika ditemu bual Media Selangor, semalam.
Menurut mereka, ekspo itu turut membuka mata pelajar terhadap kepelbagaian pilihan kerjaya, sekali gus membantu mereka membuat persediaan lebih awal sebelum memasuki alam pekerjaan.
Sementara itu, Clemence Christopher, 23, berkata beliau mengetahui mengenai SCOUT selepas ekspo berkenaan membuka reruai di universitinya sebelum mengambil keputusan untuk hadir bagi mencari peluang latihan industri.

“Yang menarik minat saya adalah kerana saya pelajar tahun akhir, saya sedang mencari syarikat untuk memohon menjadi pelatih industri, saya teruja kerana banyak syarikat besar menyertai ekspo ini,” katanya.
Beliau berpandangan perkembangan industri, termasuk sektor semikonduktor, berpotensi menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, seiring dengan penyertaan syarikat dan pelabur dalam ekosistem perniagaan.
Katanya, penganjuran ekspo seperti SCOUT memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai perkembangan industri serta peluang yang boleh diterokai berdasarkan minat dan kelayakan masing-masing.
Bagi Muhammad Haziq Ilmam Haslizan, 25, yang mempunyai pengalaman bekerja selama dua tahun, kunjungannya ke SCOUT pula didorong keinginan mencari peluang baharu untuk mengembangkan pengalaman dan kemahiran profesional.
Beliau berkata, minat terhadap sektor semikonduktor turut mendorongnya mengunjungi ekspo itu bagi mengenali syarikat berkaitan dan peluang yang ditawarkan.

“Saya tahu mengenai SCOUT daripada kawan sebab saya memang sedang mencari kerja. Saya percaya ekspo seperti ini antara peluang terbaik untuk mencari pekerjaan baharu dan mengembangkan pengalaman,” katanya.
Menurutnya, pertemuan secara bersemuka dengan wakil syarikat memudahkan pencari kerja mendapatkan maklumat mengenai keperluan dan kelayakan bagi sesuatu jawatan, berbanding bergantung sepenuhnya pada carian dalam talian.
“Kadangkala agak sukar untuk mencari kerja secara dalam talian. Apabila datang ke ekspo seperti ini, kita boleh berjumpa terus dengan wakil syarikat dan bertanya mengenai keperluan mereka,” katanya.
Beliau menyifatkan SCOUT sebagai platform yang wajar dimanfaatkan oleh pencari kerja untuk meneroka peluang baharu, membina rangkaian profesional dan merancang perkembangan kerjaya.










