KUALA LUMPUR, 15 OKT: Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang menjadi langkah penting ke arah memupuk ekonomi digital yang sihat, melindungi kepentingan pengguna dan menegakkan persaingan pasaran yang adil, kata Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA).
Presiden MRCA, Datuk Liew Bin menjelaskan bahawa semua perniagaan yang beroperasi di Malaysia, dalam atau luar negara perlu mematuhi keperluan undang-undang berkaitan cukai, keselamatan produk, perlindungan pengguna serta pematuhan komersial.
"Kami tidak menentang pelaburan asing dan pertumbuhan e-dagang. Peruncitan dalam talian serta kedai fizikal boleh saling melengkapi untuk mengembangkan bahagian pasaran," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
MRCA juga mengesyorkan agar perundangan yang dicadangkan itu menggambarkan dengan jelas liabiliti platform dan pedagang e-dagang, mengetatkan pengawasan ke atas barangan yang tidak patuh, meningkatkan mekanisme pengesahan penjual dan penyelesaian pertikaian termasuk menguatkuasakan ketelusan cukai bagi memastikan penjual rentas sempadan bersaing pada kedudukan yang sama dengan pedagang tempatan.
Pada masa yang sama, MRCA berkata kerajaan harus meningkatkan sokongan penggunaan digital untuk PKS tempatan, membantu mereka membangunkan keupayaan saluran bersepadu, mengukuhkan ekuiti jenama dan meneroka pasaran luar negara.
"Kami mengalu-alukan persaingan, tetapi ia mesti adil. Ekosistem e-dagang yang mampan tidak seharusnya datang dengan mengorbankan runcit fizikal tetapi ia mesti mewujudkan nilai bersama kepada pengguna, peniaga serta ekonomi yang lebih luas," katanya.
Memandang ke hadapan, MRCA memberi amaran bahawa industri runcit terus bergelut dengan peningkatan overhed seperti upah, sewa, logistik dan kos inventori, di samping persaingan yang semakin sengit daripada pemain dalam talian.
Persatuan itu menyeru kerajaan bagi meluaskan akses kepada pembiayaan PKS, penggunaan digital, integrasi kecerdasan buatan (AI), peningkatan kemahiran bakat dan pembangunan jenama tempatan, sambil mengekalkan dengan kerap, penglibatan pihak berkepentingan untuk menilai hasil dasar.
Secara keseluruhan, MRCA mengiktiraf isyarat positif yang disampaikan melalui Belanjawan 2027 dalam bidang utama tetapi menegaskan bahawa ukuran sebenar kejayaan belanjawan terletak di luar peruntukan dan pengumuman dasar; ia sewajarnya diterjemahkan kepada pelaburan swasta, penciptaan pekerjaan, keuntungan produktiviti selain penggunaan yang teguh.
"Kami menyokong imbuhan yang saksama untuk pekerja sambil memastikan perniagaan kekal berdaya maju bagi mewujudkan pekerjaan; kami menerima ekonomi digital sambil menuntut medan permainan yang telus serta saksama.
"Hanya apabila kerajaan, perniagaan, pekerja dan pengguna mendapat manfaat bersama, sektor runcit Malaysia boleh berkembang maju secara mampan termasuk menyumbang dengan lebih bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara," kata Liew Bin.







