KUALA LUMPUR, 10 OKT: Selangor kini menjadi peneraju utama dalam usaha Malaysia meningkatkan kedudukan dalam industri semikonduktor, dengan fokus beralih daripada kerja pemasangan dan ujian kepada reka bentuk cip serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, usaha ini disokong oleh pelan 10 tahun untuk melatih 20,000 jurutera tempatan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam sektor berteknologi tinggi itu.
Berucap pada Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, beliau menjelaskan Selangor melalui Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park) dan Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem) sedang membina ekosistem bertaraf dunia bagi melahirkan bakat tempatan, menarik pelabur global dan mengekalkan aktiviti bernilai tinggi dalam negara.
“Program ini bukan sekadar kejayaan untuk Selangor, tetapi juga langkah penting bagi Malaysia menuju ke arah menjadi negara semikonduktor yang dipacu reka bentuk dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan tahun lalu, Asem telah melatih lebih 800 individu manakala lebih 1,500 jurutera berjaya menamatkan program latihan. Akademi itu turut bekerjasama dengan 65 universiti tempatan dan antarabangsa serta syarikat global seperti Arm, Synopsys dan Cadence.
“Ini bukan usaha kecil. Ia sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk melahirkan 20,000 jurutera yang mampu mereka cip bagi teknologi masa depan,” katanya.
Tahun ini, program pengambilan tersebut menghimpunkan 30 syarikat semikonduktor termasuk syarikat tempatan dan antarabangsa, menawarkan lebih 600 peluang pekerjaan bernilai tinggi dengan gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM6,500 untuk graduan baharu.
Amirudin berkata, inisiatif itu menunjukkan kesungguhan Selangor memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Kerjasama kami dengan Kerajaan Persekutuan melalui Asem membuktikan komitmen ini. Ia contoh bagaimana dasar, industri dan pendidikan boleh bekerjasama menghasilkan hasil nyata,” jelasnya.
Menurut beliau, Selangor mengamalkan pendekatan model tiga heliks (triple helix) yang menekankan kerjasama rapat antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan seperti yang diamalkan di Belanda.
“Kita bukan hanya menjemput syarikat besar datang, tetapi juga mengukuhkan dasar untuk bantu syarikat tempatan menggaji bakat tempatan yang kita latih sebagai pereka cip bertaraf dunia,” katanya.
Amirudin yakin Selangor berada di landasan tepat untuk menjadi hab reka bentuk cip global dalam tempoh lima tahun akan datang, sambil menggalakkan jurutera muda dan graduan supaya merebut peluang dalam sektor semikonduktor negara.
“Malaysia sudah bersedia menerima idea, semangat dan cita-cita anda. Biarlah Selangor menjadi nadi industri reka bentuk semikonduktor negara,” katanya.