Saksi dengar dentuman kuat sebelum tembok penahan runtuh

12 Okt 2026, 3:13 PM
Saksi dengar dentuman kuat sebelum tembok penahan runtuh

SHAH ALAM, 12 OKT: Tembok penahan setinggi lima meter runtuh dipercayai akibat hujan lebat di Jalan Nilam 2, Kajang petang tadi, menyebabkan enam kenderaan tertimbus.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati struktur berkenaan dipercayai gagal menahan pergerakan tanah selepas hujan lebat melanda kawasan itu sejak jam 3 petang.

Menurutnya, kejadian sekitar jam 5 petang itu menyebabkan tiga kereta dan tiga motosikal yang diletakkan berhampiran lokasi mengalami kerosakan.

"Runtuhan itu menyebabkan tanah menimbus beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran kawasan terjejas.

"Tiga kereta yang rosak dalam kejadian itu ialah Proton Saga, Proton Satria dan Proton Wira Aeroback.

"Sementara tiga motosikal, masing-masing Yamaha Nouvo, Honda Wave dan Yamaha Lagenda, turut mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Kenderaan yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Nilam 2, Kajang petang tadi. Foto ihsan APM

Bagaimanapun, Naazron mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkaitan.

Sementara itu, pegawai operasi sebuah syarikat keselamatan, Wan Nabihah Ramly, 35, berkata dia sedang bertugas di premis berhampiran ketika terdengar bunyi kuat sebelum menyedari kejadian tanah runtuh berkenaan.

Menurutnya, insiden itu berlaku dengan pantas sehingga menyebabkan orang ramai yang berada berhampiran lokasi bergegas keluar.

"Kami sedang bekerja apabila tiba-tiba terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh jam 4.50 petang.

"Namun, kira-kira jam 5 petang, satu dentuman kuat berlaku dan orang ramai mula menjerit meminta semua orang keluar.

"Apabila kami melihat ke luar, semuanya sudah runtuh. Kejadian berlaku begitu pantas," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Wan Nabihah yang sudah dua tahun bekerja di kawasan itu berkata kejadian seumpama itu kali pertama berlaku sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau turut percaya hujan berterusan mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada runtuhan tersebut.

"Tembok itu baru dipasang beberapa bulan lalu, jadi kami yang bekerja di sini menyangka kawasan ini selamat.

"Namun, selepas kejadian ini berlaku, kami sedar keadaan mungkin tidak seperti yang disangka," katanya.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Langat menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.45 petang sebelum anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Tiada kediaman atau keluarga dilaporkan terjejas, manakala pusat pemindahan sementara (PPS) juga tidak dibuka.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.