Kapal kontena Singapura tenggelam diserang projektil di Selat Hormuz

14 Okt 2026, 3:02 PM
Kapal kontena Singapura tenggelam diserang projektil di Selat Hormuz

SINGAPURA, 14 OKT: Dua kapal kontena berdaftar di Singapura terkena tembakan projektil yang tidak dikenali ketika melalui Selat Hormuz masing-masing pada 13 dan 14 Okt, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).

Satu daripada kapal berkenaan, GFS Pride, tenggelam selepas mengalami kerosakan dan terbakar, namun kesemua 21 anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat.

Sebuah lagi kapal dikenali sebagai GFS Giselle mengalami kerosakan pada bahagian badan kapal dan kini telah tiba di kawasan berlabuh yang selamat menggunakan enjinnya sendiri, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan dan kesemua 22 anak kapal selamat.

"Tiada warga Singapura berada di atas kedua-dua kapal berkenaan," menurut MPA dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pihak berkuasa itu sedang berhubung dengan syarikat pengurusan kapal berkenaan dan memantau rapat situasi itu.

"MPA amat bimbang dengan serangan berterusan ke atas perkapalan komersial di Selat Hormuz. Serangan sedemikian adalah tanpa provokasi, tidak dapat dijustifikasikan, dan merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Semua tindakan yang memberi kesan kepada perkapalan antarabangsa mesti mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, dan tidak boleh membahayakan keselamatan pelaut serta kapal di laut," menurut kenyataan itu.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.