ISTANBUL, 11 OKT: Sebuah kapal tangki terbakar selepas terkena projektil tidak dikenal pasti di Selat Hormuz, menurut Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut UKMTO, nakhoda kapal tangki yang sedang dalam pelayaran keluar dari selat itu melaporkan bahawa sebuah projektil tidak dikenal pasti mengenai bahagian kiri kapalnya sehingga menyebabkan kebakaran.
Semua anak kapal dilaporkan selamat, manakala tahap kerosakan serta sebarang kesan terhadap alam sekitar masih belum diketahui.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, manakala kapal yang melalui kawasan berkenaan dinasihatkan supaya berhati-hati.
Insiden itu berlaku beberapa jam selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada lewat Sabtu memaklumkan bahawa sebuah kapal tangki minyak besar terkena periuk api laut dan meletup ketika cuba meninggalkan Selat Hormuz melalui laluan selatan yang tidak dibenarkan.
IRGC memaklumkan bahawa kapal yang disifatkan mampu membawa kira-kira dua juta tong minyak itu telah mematikan sistem navigasinya sebelum cuba melalui laluan perkapalan penting bagi bekalan tenaga dan komoditi global berkenaan.
Menurut IRGC, kapal tangki itu terkena periuk api laut ketika cuba keluar melalui laluan alternatif berkenaan, menyebabkan letupan yang dapat dilihat dari kawasan pantai.






