Tiga kapal tangki minyak meletup terkena periuk api di Selat Hormuz - Iran

29 Okt 2026, 11:45 AM
Tiga kapal tangki minyak meletup terkena periuk api di Selat Hormuz - Iran

TEHRAN, 29 OKT: Tiga kapal tangki minyak meletup dan terbakar selepas terkena periuk api laut ketika cuba melalui laluan tidak dibenarkan di selatan Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang IRGC pada Khamis, kejadian itu berlaku dalam tempoh 24 jam lalu, menyebabkan ketiga-tiga kapal tangki berkenaan terkandas di sepanjang pantai selatan laluan perairan strategik itu.

Kenyataan itu menyebut kesemua kapal berkenaan mematikan semua sistem radar dan navigasi serta mengabaikan amaran Tentera Laut IRGC ketika cuba keluar melalui laluan selatan yang tidak dibenarkan itu.

Tentera Laut IRGC memberi amaran bahawa laluan berkenaan dipenuhi periuk api sambil meletakkan tanggungjawab terhadap pemilik dan kru kapal yang menggunakannya. Pasukan itu turut menggesa mereka supaya tidak mempercayai “ilusi” yang disebarkan oleh Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) di media sosial.

“Fakta di lapangan akan membuktikannya sendiri. Sebarang tindakan provokatif yang disokong oleh tentera AS yang agresif dan pengganas serta mengabaikan peraturan yang mengawal selia selat itu bakal menerima tindak balas tegas,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-IRNA

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.