37 projek bilik darjah tambahan Selangor siap, baki menyusul Disember

14 Okt 2026, 9:00 AM
37 projek bilik darjah tambahan Selangor siap, baki menyusul Disember
37 projek bilik darjah tambahan Selangor siap, baki menyusul Disember
37 projek bilik darjah tambahan Selangor siap, baki menyusul Disember
37 projek bilik darjah tambahan Selangor siap, baki menyusul Disember

HULU LANGAT, 14 OKT: Sebanyak 37 daripada keseluruhan 191 projek pembinaan bangunan modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) membabitkan 126 sekolah di Selangor siap setakat ini, manakala bakinya disasar diselesaikan menjelang hujung tahun.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Ir Shukri Ishak berkata projek dengan peruntukan RM206.6 juta itu berjalan mengikut jadual, malah sebahagiannya berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

“Jadi saya dapat simpulkan Selangor adalah negeri yang diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek-projek pembinaan sekolah IBS dan juga sekolah untuk Tahun Satu.

“Insya-Allah projek-projek di Selangor berjalan mengikut jadual dan kita jangka banyak lagi projek yang akan diserahkan pada Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Program Pembinaan Bangunan Modular dan IBS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek (tengah) bergambar bersama pasukan projek dan wakil kontraktor pada Majlis Penyerahan Projek Siap Program Pembinaan Bangunan Modular dan IBS di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi pada 14 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Majlis disempurnakan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek itu membabitkan penyerahan projek di enam sekolah sekitar Hulu Langat, merangkumi 19 pakej pembinaan dengan 68 bilik darjah.

Shukri berkata projek berkenaan turut merangkumi penyediaan pendawaian elektrik, kipas, papan putih, papan kenyataan dan perabot bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih selesa.

“Kita menaik taraf sistem elektrik dan laluan berbumbung yang menghubungkan blok-blok utama ke bilik darjah tambahan untuk meningkatkan faktor keselamatan dan juga keselesaan murid-murid sekolah.

“Dalam projek ini (SMK Bandar Seri Putra), satu kelas kita reka untuk 35 murid atau pelajar. Jadi hari ini di sini kita telah siapkan 20 bilik darjah, maknanya 700 orang akan menikmati suasana belajar yang baharu di bilik darjah baharu,” katanya.

Beliau menegaskan kepantasan menyiapkan projek tidak mengabaikan aspek keselamatan, dengan setiap pembinaan perlu mematuhi garis panduan kontrak termasuk keselamatan kebakaran dan piawaian reka bentuk bangunan.

Menurutnya, JKR turut akan memantau keadaan bangunan sepanjang tempoh tanggungan kecacatan (DLP) bagi memastikan sebarang kerosakan atau kekurangan dapat dikenal pasti dan dibaiki.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menyerahkan dokumen secara simbolik pada Majlis Penyerahan Projek Siap Program Pembinaan Bangunan Modular dan IBS di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi pada 14 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Untuk projek sekolah, sebenarnya kita ada tempoh tanggungan kecacatan selama setahun bagi kerja melebihi RM500,000. Pada waktu itu JKR akan sentiasa memantau. Kita akan datang ke tapak bina dan sekolah untuk melihat apa kecacatan yang perlu dibuat pembaikan.

“Kita juga sentiasa berhubung dengan pengetua ataupun guru besar sekolah terlibat untuk mendapatkan maklum balas tentang bangunan atau bilik darjah yang kita bina,” katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Kerja Raya bersama Kementerian Pendidikan memperluas pelaksanaan program pembinaan bangunan modular dan IBS di sekolah seluruh negara.

Teknologi itu menggunakan kaedah Modular Precast System (MPS) atau bilik darjah jenis kabin pasang siap, dengan struktur disiapkan di kilang sebelum dibawa ke tapak projek untuk pemasangan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.