SHAH ALAM, 30 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), khususnya di sekolah-sekolah yang dikenal pasti padat, susulan pelaksanaan dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke tahun satu bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pendekatan itu dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek bagi menampung pertambahan murid akibat situasi double cohort, iaitu kemasukan serentak murid berusia enam dan tujuh tahun.
Menurut beliau, situasi berkenaan dijangka memberi tekanan kepada kapasiti sekolah tertentu, justeru KPM kini sedang menilai tahap ketersediaan fasiliti bilik darjah di semua sekolah di seluruh negara, lapor Sinar Harian.
“Bukan semua sekolah berada dalam keadaan padat. Masih banyak sekolah yang mempunyai ruang mencukupi dan tidak berdepan masalah dari segi fasiliti,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bagi sekolah yang dikenal pasti tidak mampu menampung pertambahan murid, KPM akan mengambil langkah membina bilik darjah tambahan menggunakan kaedah IBS.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Sekolah Menengah Yuk Choy (SUWA) di Jelapang, Ipoh, hari ini.
Kah Woh menjelaskan, kaedah IBS membolehkan kemudahan tambahan disiapkan dalam tempoh lebih singkat, iaitu sekitar empat hingga lima bulan selepas kelulusan diberikan, berbanding kaedah pembinaan konvensional yang lazimnya mengambil masa dua hingga tiga tahun.
“Kaedah IBS bukan sesuatu yang baharu. Ia telah dilaksanakan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, khususnya di sekolah-sekolah padat seperti di Cyberjaya, bagi memastikan bilik darjah tambahan dapat disediakan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau menambah, buat masa ini KPM masih meneliti keperluan sebenar setiap sekolah sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat tepat dan bersasar.
Selain aspek infrastruktur, Kah Woh berkata perancangan operasi sekolah serta kesiapsiagaan guru turut menjadi fokus utama kementerian bagi memastikan pelaksanaan dasar kemasukan murid berusia enam tahun berjalan lancar.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kos pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dengan anggaran kos meningkat daripada RM180,000 hingga RM250,000 bagi tempoh 2016 hingga 2020 kepada RM280,000 hingga RM520,000 bagi tempoh 2021 hingga 2026, meliputi kos blok bangunan termasuk bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.


