SHAH ALAM, 24 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan segera pembinaan bilik darjah tambahan bagi 18 sekolah padat di Selangor sebagai langkah jangka pendek bagi menangani masalah kelas sesak dan kekurangan prasarana.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi memastikan isu berkenaan ditangani dengan bersungguh-sungguh tanpa menunggu ia tular di media sosial.
“Setelah melihat intervensi jangka pendek, saya luluskan segera semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah-sekolah (padat) tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah terlibat akan dilaksanakan segera secara berfasa.
Selain itu, katanya, beliau turut mengarahkan penambahan waran guru bagi menangani isu kekurangan guru di sekolah-sekolah padat berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata sekolah-sekolah baharu yang sedang dibina juga akan diberikan perhatian segera bagi memastikan perancangan pendidikan dapat memenuhi keperluan semasa.
Menurutnya, Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 mengutamakan penyediaan suasana pembelajaran yang kondusif serta prasarana selesa bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.
“Jangan kerja sebab viral, kita kerja kerana itu memang kerja kita,” katanya.
Beliau turut memaklumkan mesyuarat seterusnya akan diadakan bersama JPN Kedah bagi menangani isu sekolah padat di negeri berkenaan.


