SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2026–2030 yang menggariskan sembilan teras strategik dan 42 tindakan pembangunan bagi memperkukuh industri pelancongan serta menjadikan negeri ini destinasi antarabangsa yang berdaya saing, mampan dan inklusif.
Pelan induk tersebut menetapkan dua hala tuju utama, iaitu meletakkan Selangor sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi serta memacu pembangunan industri melalui sektor pelancongan kesihatan, Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE), serta hiburan keluarga.
Hala tuju pertama memberi tumpuan kepada penyediaan pengalaman pelancongan bertaraf tinggi, eksklusif dan berimpak ekonomi tinggi bagi menarik pelancong yang mempunyai kuasa perbelanjaan lebih besar serta menggalakkan tempoh penginapan lebih lama.
Hala tuju kedua pula memberi penekanan kepada tiga pemacu utama, iaitu pelancongan kesihatan, MICE dan hiburan keluarga bagi merancakkan pembangunan industri pelancongan negeri.
Pelan induk itu menyasarkan ketibaan pelancong antara 9.2 juta hingga 13.6 juta orang, masing-masing dengan peningkatan tiga hingga 10 peratus. Pada masa sama, kadar penghunian purata hotel disasarkan meningkat antara satu hingga lima peratus, iaitu kepada 55.2 hingga 69.6 peratus.
Sasaran tersebut diperincikan berdasarkan empat senario pertumbuhan dengan mengambil kira faktor utama seperti pembinaan resort dan hotel, pembangunan produk serta tarikan pelancongan baharu, kerjasama rakan strategik dan aktiviti promosi serta pemasaran dalam dan luar negara.
Secara keseluruhan, pelan induk itu menggariskan tiga teras tindakan utama yang diperincikan kepada sembilan teras strategik dan 42 tindakan pembangunan. Tumpuan merangkumi peningkatan industri dan pembangunan produk bernilai tinggi, pembinaan jenama serta inovasi serantau, keterangkuman sosial, promosi dan pemasaran serta tadbir urus.
Pelaksanaan 42 tindakan pembangunan itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM49.1 juta dan dibahagikan kepada tiga fasa dari 2026 hingga 2030.
Fasa pertama melibatkan enam projek yang akan dilaksanakan pada 2026 dengan peruntukan RM1.7 juta bagi menghasilkan pencapaian awal.
Fasa kedua merangkumi 27 projek yang dilaksanakan dari 2027 hingga 2028 dengan peruntukan RM36.5 juta, manakala fasa ketiga melibatkan sembilan projek dari 2029 hingga 2030 dengan peruntukan RM10.9 juta.
Sembilan teras strategik Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2026–2030 ialah:
Memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab pelancongan kesihatan dan kesejahteraan bertaraf antarabangsa melalui penyediaan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan.
Memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pusat perniagaan dan pelancongan MICE bertaraf antarabangsa yang berimpak tinggi serta inovatif.
Memperkaya pengalaman pelancong melalui penciptaan nilai dan pengukuhan produk pelancongan keluarga berasaskan pendidikan, warisan dan seni budaya serta ekologi semula jadi.
Memperkasa pembangunan komuniti dengan mewujudkan peluang kerjaya dan menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam industri pelancongan bagi meningkatkan kesejahteraan mereka.
Memperkukuh imej pelancongan Selangor melalui pengiktirafan dan penjenamaan antarabangsa bagi membentuk kedudukan jenama yang kukuh di peringkat global.
Menjadikan inisiatif Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) sebagai pemacu utama pembangunan produk dan perkhidmatan pelancongan yang inovatif, berdaya saing serta berimpak tinggi.
Memacu transformasi digital yang kreatif dan inovatif ke arah pembangunan pelancongan pintar.
Memperkukuh pemasaran dan promosi pelancongan bagi merancakkan pembangunan industri serta meningkatkan reputasi dan keterlihatan Selangor sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Meningkatkan kecekapan pengurusan destinasi dan tadbir urus pelancongan bagi membentuk sistem pengurusan yang lebih dinamik, cekap serta inovatif.







