Tiga teras utama pacu pelancongan bernilai tinggi di Selangor

16 Okt 2026, 3:29 AM
Tiga teras utama pacu pelancongan bernilai tinggi di Selangor
Tiga teras utama pacu pelancongan bernilai tinggi di Selangor
Tiga teras utama pacu pelancongan bernilai tinggi di Selangor

SHAH ALAM, 16 OKT: Selangor menumpukan tiga teras strategik menerusi Pelan Induk Pelancongan 2026–2030 bagi menggalakkan pelancong berbelanja dan memanjangkan tempoh penginapan di sini.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata teras itu merangkumi pelancongan kesihatan, pelancongan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) serta pelancongan hiburan keluarga.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memperkukuh industri pelancongan bernilai tinggi, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan tempatan.

“Kami berharap melalui tiga teras utama ini dapat menarik pelancong ke Selangor, bukan sekadar melawat sepintas lalu, tetapi melalui promosi pelancongan mendalam di pelbagai tempat menarik.

"(Ia) supaya perjalanan mereka ke Selangor bukan sekadar berakhir dalam satu petang, sebaliknya dapat tinggal lebih lama dan merasai pengalaman Selangor secara mendalam," katanya.

Dalam jawapan bertulis kepada Media Selangor, Suee Lim menjelaskan manfaat pertumbuhan sektor itu turut dinikmati peniaga kecil, tidak hanya tertumpu kepada hotel dan pusat beli-belah.

Mengulas peruntukan lebih RM40 juta bagi pelaksanaan pelan induk berkenaan, katanya, anggaran perbelanjaan disediakan agensi berkaitan termasuk Tourism Selangor berdasarkan sasaran tertentu.

"Selain peruntukan Kerajaan Negeri, kami juga akan memohon peruntukan jabatan berkaitan kerajaan, dan melaksanakan kerja pembangunan pelancongan berdasarkan sumber yang diperoleh," katanya.

Selain kekangan dana, beliau berkata ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global dikenal pasti sebagai cabaran utama yang boleh mempengaruhi prestasi industri pelancongan.

Tambah Suee Lim, keadaan ekonomi yang perlahan juga boleh menyebabkan orang ramai mengurangkan perbelanjaan untuk melancong bagi mengutamakan keperluan harian.

“Dalam keadaan ekonomi yang lembap, orang ramai akan mengurangkan belanja pelancongan terlebih dahulu, bagi menangani tekanan hidup. Justeru, ketidakstabilan keadaan politik dan ekonomi masih merupakan cabaran terbesar dalam pembangunan industri pelancongan,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.