Selangor tarik pelaburan RM22.1 bilion dari Eropah, wujud 12,653 pekerjaan

13 Okt 2026, 7:00 AM
Selangor tarik pelaburan RM22.1 bilion dari Eropah, wujud 12,653 pekerjaan
Selangor tarik pelaburan RM22.1 bilion dari Eropah, wujud 12,653 pekerjaan
Selangor tarik pelaburan RM22.1 bilion dari Eropah, wujud 12,653 pekerjaan

SHAH ALAM, 13 OKT: Selangor berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM22.1 bilion dari 16 negara Kesatuan Eropah (EU) sepanjang 2021 hingga 2025, membabitkan 308 projek yang mewujudkan 12,653 peluang pekerjaan.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata Belanda menjadi penyumbang terbesar dengan pelaburan RM16.8 bilion menerusi 60 projek yang menjana 4,754 pekerjaan, diikuti Jerman RM2.3 bilion melalui 79 projek serta 2,688 pekerjaan.

Menurutnya, Ireland mencatat pelaburan RM987 juta manakala Switzerland merekodkan RM629 juta menerusi 36 projek yang mewujudkan 1,200 pekerjaan, sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi kukuh antara Selangor dengan negara Eropah.

“Kesatuan Eropah bukan rakan baharu bagi Selangor, sebaliknya rakan kerjasama yang telah lama terjalin dan dipercayai,” katanya ketika berucap pada forum EU-Malaysia Business Data 2026: Selangor in Focus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata tinjauan terkini EU-ASEAN Business Council turut mendapati 49 peratus responden merancang mengembangkan operasi atau pelaburan di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan syarikat Eropah terhadap rantau ASEAN.

Sze Han berkata momentum pelaburan Selangor berterusan apabila negeri itu mencatat RM70 bilion pelaburan diluluskan menerusi 835 projek pada separuh pertama 2026, tertinggi antara semua negeri dan hampir satu pertiga daripada keseluruhan pelaburan Malaysia berjumlah RM218.5 bilion.

“Kami yakin dapat melepasi paras RM80 bilion dalam beberapa bulan akan datang,” katanya sambil menjelaskan Selangor turut memperuntukkan RM50 juta bagi dana pelaburan baharu bersama Khazanah Nasional Bhd dan Kerajaan Pulau Pinang untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor.

Sementara itu, Pesuruhjaya Eropah bagi Perkongsian Antarabangsa Jozef Síkela berkata industri semikonduktor Malaysia menawarkan peluang besar untuk memperluas aktiviti ekonomi bernilai tinggi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih baik.

Beliau berkata sokongan Eropah terhadap pelaburan hampir €1 bilion oleh syarikat semikonduktor Belanda, NXP di Petaling Jaya melalui inisiatif Global Gateway dan Bank Pelaburan Eropah bakal memperluas pembuatan semikonduktor termaju serta meningkatkan kapasiti pengeluaran di lokasi berkenaan kepada lebih dua kali ganda.

Síkela turut melihat potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital, tenaga boleh baharu dan grid tenaga ASEAN, manakala rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) yang disambung semula tahun lalu dijangka memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan kedua-dua pihak menjelang sasaran penyelesaian pada 2027.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.