SHAH ALAM, 12 OKT: Pemandu lori berusia 51 tahun yang merempuh 11 kereta di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, Jumaat lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, esok.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Esok OKT (orang kena tuduh) yang ditahan berkait kes kemalangan membabitkan 12 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman akan dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(a) APJ 1987 di Mahkamah Majistret Shah Alam," katanya hari ini.
Terdahulu, kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan 11 kereta itu menyebabkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah.
Susulan kejadian itu, pemandu lori terbabit ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu turut mengesan kehadiran dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.





