MBDK kekal kadar sewa Bazar Deepavali, petak serendah RM190

6 Okt 2026, 6:30 AM
MBDK kekal kadar sewa Bazar Deepavali, petak serendah RM190
MBDK kekal kadar sewa Bazar Deepavali, petak serendah RM190
MBDK kekal kadar sewa Bazar Deepavali, petak serendah RM190

SHAH ALAM, 6 OKT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengekalkan kadar sewa petak Bazar Deepavali di Lorong Tingkat, Jalan Tengku Kelana dengan kadar serendah RM190 mengikut kategori perniagaan.

Pengarah Jabatan Pelesenan MBDK, Mohd Izzat Mokhtar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos pengurusan yang perlu ditanggung pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“MBDK dengan Datuk Bandar bersetuju untuk mengekalkan kadar sedia ada memandangkan MBDK perlu menanggung pelbagai kos pengurusan termasuk elektrik dan pembersihan harian oleh KDEB Waste Management,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan (PPSK) yang menggesa MBDK mengurangkan kadar sewa Bazar Deepavali sehingga 85 peratus dengan mengambil contoh langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Suasana sekitar Little India, Klang yang sibuk dengan aktiviti pengunjung. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya, MBDK menerima permohonan daripada PPSK pada 30 September lalu berhubung pengurangan kadar sewa berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang bantahan atau permohonan sama daripada dua persatuan peniaga utama di kawasan berkenaan, iaitu Persatuan Peniaga Kecil Little India dan Persatuan Peniaga Berwawasan.

“Saya ada berbual dengan pengerusi PPSK mendapati sebahagian besar ahli persatuan itu sendiri tidak memohon atau menyertai undian petak bazar tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Izzat berkata sebanyak 142 petak disediakan untuk Bazar Deepavali yang akan berlangsung pada 25 Oktober hingga 7 November, dengan permohonan dibuka dari 1 hingga 20 Oktober ini.

Katanya, kadar sewa bagi petak menjual barangan keperluan perayaan ditetapkan RM580, selain deposit boleh dikembalikan sebanyak RM300 dan caj kebersihan RM200.

“Bagi peniaga yang menjual bunga api, kadar sewa ialah RM1,500 berserta deposit boleh dikembalikan RM500.

“Peniaga yang menjual belon dan perkhidmatan melukis inai pula, kadar sewa tapak hanya RM190,” katanya.

Beliau berkata proses undian bagi permohonan terawal dilaksanakan pada 30 September lalu, manakala peniaga yang berminat boleh memohon petak masih kosong bermula 9 hingga 16 Oktober ini.

"MBDK juga akan mengemukakan jawapan rasmi berhubung permohonan pengurangan kadar sewa berkenaan kepada PPSK dalam masa terdekat," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.