SHAH ALAM, 12 OKT: Dua lelaki berusia 20 tahun maut manakala lima individu lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Penyajak U1/45B, Hicom-Glenmarie Industrial Park, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.27 tengah malam sebelum 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira Aeroback yang dinaiki empat lelaki dan Proton Exora dengan tiga penumpang.
“Dua lelaki berusia 20 tahun yang menaiki Proton Wira Aeroback disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Tiga individu dalam Proton Exora, iaitu seorang wanita berusia 29 tahun serta dua lelaki masing-masing berusia 27 dan 28 tahun turut cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata jentera bomba tiba di lokasi pada jam 12.44 tengah malam dan operasi berjaya dikawal pada jam 1.05 pagi.
Menurutnya, semua mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi membabitkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Subang Jaya dan Bukit Jelutong serta sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Bukit Jelutong.







