KOTA BHARU, 22 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan dilaporkan hilang sejak pukul 4 petang tadi ketika berada di sekitar rumah keluarganya di Kampung Bechah Salak, Kuala Krai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi sistem NG999 pada 6.37 petang sebelum jentera tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Beliau berkata keluarga kanak-kanak berkenaan telah melakukan pencarian di sekitar rumah sebelum membuat laporan polis selepas gagal menemukannya.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan sekitar rumah mangsa, termasuk di kolam ikan sedalam kira-kira satu meter yang terletak 50 meter dari rumah.
“Keluarga mangsa telah mengepam keluar air kolam berkenaan dengan bantuan penduduk kampung dan anggota bomba, namun mangsa masih belum ditemukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ahmad Afsham berkata pencarian turut diperluas ke kawasan hutan berhampiran dengan bantuan polis serta orang awam.
Beliau berkata operasi masih diteruskan walaupun berdepan keadaan cuaca yang semakin gelap, sekali gus memerlukan usaha pencarian dilakukan dengan teliti.
“Sebanyak sembilan anggota bomba bersama empat anggota polis terlibat dalam operasi yang menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Lokasi rumah keluarga mangsa agak terpencil kerana terletak di dalam kawasan kebun, kira-kira 100 meter dari jalan utama dan jauh daripada rumah penduduk lain,” katanya.
-- BERNAMA








