KKM percepat isi kekosongan jururawat, perkukuh perkhidmatan kesihatan

11 Okt 2026, 10:08 AM
KKM percepat isi kekosongan jururawat, perkukuh perkhidmatan kesihatan

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepat pengambilan dan penyerapan jururawat bagi mengisi kekosongan jawatan serta memperkukuh perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu termasuk menawarkan jawatan tetap kepada semua jururawat yang sedang berkhidmat dengan KKM.

“Keutamaan KKM adalah untuk memastikan perkhidmatan kejururawatan awam kekal kompetitif, kebajikan mereka terpelihara dan prospek kerjaya jururawat terus dibangunkan serta diperkasakan.

“Usaha ini turut merangkumi penambahbaikan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pemberian insentif dan elaun mengikut kelayakan selain mengekalkan waktu bekerja selama 42 jam seminggu bagi jururawat yang bertugas secara syif,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata KKM turut memperluas peluang latihan dan kenaikan pangkat bagi meningkatkan prospek kerjaya jururawat dalam perkhidmatan awam di samping memberi ruang untuk mereka mengembangkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang kejururawatan.

“Selain itu, fleksibiliti penempatan juga ditambah baik menerusi kemudahan Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) yang membolehkan jururawat memohon pertukaran berdasarkan persetujuan bersama.

“Jururawat adalah antara skim perkhidmatan yang paling banyak mendapat manfaat daripada sistem pertukaran berkenaan manakala proses pengambilan turut dipercepat bagi mengisi kekosongan jawatan,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly berkata KKM turut berusaha mempercepat proses penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata sehingga Julai lalu, seramai 3,545 pegawai farmasi masih berkhidmat secara kontrak dengan KKM manakala 115 lagi berada dalam senarai simpanan atau menunggu lantikan tetap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu mengumumkan peruntukan RM47.7 bilion kepada KKM merangkumi RM40.95 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM6.75 bilion untuk pembangunan.

Peruntukan itu turut memperkukuh tenaga kerja menerusi kenaikan Bayaran Insentif Pos Basik kepada RM200 sebulan untuk 47,000 anggota paramedik dan jururawat serta Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara yang dinaikkan daripada RM30 kepada RM100.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.