KOTA KINABALU, 15 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) memperkasakan tiga strategi utama reformasi tenaga kerja kesihatan negara bagi menangani kekurangan jururawat yang kritikal, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata tiga strategi itu meliputi peningkatan pengeluaran lulusan bidang itu, peluasan laluan kerjaya serta pelaksanaan pengambilan terus dan autonomi dalam pengurusan perjawatan.

“Langkah ini penting bagi memastikan keperluan tenaga kerja kesihatan negara dapat dipenuhi selaras dengan cabaran sistem kesihatan yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap pada Konvokesyen Institut Latihan KKM (ILKKM) 2026 Zon Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini.
Dzulkefly berkata daripada 73,281 perjawatan jururawat gred U5, terdapat kekosongan sebanyak 10,557 di fasiliti kesihatan pada masa ini.
Bagi meningkatkan pengeluaran tenaga kerja, beliau berkata pengambilan jururawat pelatih telah dilipatgandakan kepada 3,000 orang setahun bermula 2025.
“Bagi memperluas strategi ini, KKM menyasarkan untuk penyumberluaran sehingga 2,000 pelatih setahun ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS),” katanya.
Selain itu, Dzulkefly berkata empat cawangan ILKKM akan dibuka semula menjelang Oktober 2027 di Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Muar, Johor dan Pulau Pinang dengan tambahan kapasiti keseluruhan kira-kira 500 pelatih.
“Ini menjadikan kapasiti keseluruhan program Diploma Kejururawatan kepada 5,500 pelatih setahun,” katanya.
Bagi strategi kedua, Dzulkefly berkata KKM akan memulakan 15 Program On-The-Job Training (OJT) pada September ini bagi membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh lama.
“KKM turut memperluas laluan kerjaya bagi jururawat masyarakat untuk menjadi jururawat menerusi Diploma Peralihan,” katanya.
Sementara itu, bagi strategi ketiga, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim bagi graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang memenuhi syarat.
“Ini bermaksud semua graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia akan diserap terus ke jawatan tetap,” katanya.
Dzulkefly berkata sejak 9 Julai, KKM diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan bagi mengurangkan birokrasi dan memastikan lulusan bidang berkaitan ditempatkan terus di lapangan.
Sementara itu, beliau berkata ILKKM melahirkan 6,987 graduan pada tahun ini, dengan 924 graduan di Zon Sabah manakala 5,117 graduan di Zon Semenanjung dan 946 di Zon Sarawak.
Beliau berkata tema istiadat konvokesyen tahun ini “Graduan ILKKM Tonggak Reformasi Kesihatan MADANI” mencerminkan komitmen berterusan KKM untuk melahirkan profesional kesihatan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.






